suria

Tak salah ambil makanan, minuman dalam tin! Ini 5 cara elak kena jangkitan kencing tikus

Pastikan tin minuman dibasuh sebelum air di dalamnya diminum. -Gambar hiasan AI

KES seorang remaja yang meninggal dunia selepas minum air tin, dipercayai dicemari kencing tikus sememangnya membuka mata masyarakat.

Belum reda kes itu diperkatakan, muncul pula kes yang hampir sama, menurut perkongsian seorang doktor dari Klinik Hijraa, Chendering di Terengganu.

Menurut doktor berkenaan, seorang pesakit datang mendapatkan rawatan selepas mengalami demam ringan, sakit perut, loya, lemah badan dan tiada selera makan. 

Mujurlah pesakit itu datang awal dan menjalani pemeriksaan darah serta rawatan susulan.

Selepas satu minggu dipantau, simptom pulih dan pesakit kembali stabil setelah menjalani pemeriksaan darah serta rawatan.

Tetapi ini bukan alasan untuk kita ambil mudah kerana kuman leptospira (punca kencing tikus) boleh meragut nyawa jika tidak dikesan awal.

Kencing tikus bukan perkara baharu dan ia sangat berkait dengan tabiat makan dan minum yang tidak dijaga kebersihannya.

Tin minuman berpotensi tercemar dengan air kencing tikus atau kuman. -Gambar hiasan 

Berikut beberapa langkah pencegahan yang perlu kita semua ambil serius:

1. Basuh dulu tin minuman, makanan bertin atau sardin sebelum buka.

2. Elakkan minum terus dari tin, sebaliknya guna gelas atau straw.

3. Panaskan makanan dalam tin sebelum makan untuk matikan bakteria.

4. Kalau makanan atau minuman ada bau, warna atau rasa pelik, buang terus.

5. Jumpa doktor sekiranya mula demam, cirit-birit, sakit perut atau badan selepas mengambil makanan dan minuman dari tin.

Sebelum ini, media sosial digemparkan dengan kisah pemergian mengejut seorang remaja, Muhammad Ikmal Azizuddin yang disyaki meninggal dunia akibat jangkitan kuman berpunca daripada kencing tikus.

Menurut perkongsian bapanya, Mohd Azizuddin Aziz, anak sulungnya itu menyertai aktiviti mendaki gunung bersama empat rakan pada 13 Julai lalu. 

Awalnya hanya mengalami muntah dan cirit-birit namun siapa sangka, ia sebenarnya petanda awal kepada jangkitan yang meragut nyawa.

Artikel Lain