PEMBUANGAN sisa toksik dan bahan berbahaya perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi peraturan ketat yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko terhadap orang awam dan alam sekitar.
Pembuangan sisa secara tidak betul seperti membuang bahan kimia ke dalam sistem pembetungan awam atau membuang barangan berbahaya ke dalam tandas boleh mencetuskan risiko dan kesan buruk yang serius.
Insiden letupan dalam paip pembetungan di Bukit Minyak, Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada 6 Jun lalu memperlihatkan betapa bahayanya perbuatan itu.
Ketika kejadian, cecair berwarna merah jambu ditemui dalam sistem pembetungan berkenaan.
Cecair beracun berwarna merah jambu yang ditemui dalam sistem pembetungan.
Siasatan dilakukan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengesan kemasukan efluen gas beracun berwarna merah jambu ke dalam rangkaian pembetungan, dipercayai akibat pembuangan bahan kimia secara haram.
Insiden seumpama ini bukanlah kes terpencil memandangkan kemalangan serupa pernah berlaku sebelum ini.
Pada November 2020, IWK melaporkan kejadian pelepasan air sisa secara haram ke loji rawatan kumbahan di Taman Velox, Rawang, Selangor yang mana air tersebut dilihat berbuih putih dan berwarna merah.
Tindakan segera diambil, termasuk mempertingkatkan proses rawatan biologi, menyingkirkan bahan cemar, mengalihkan air sisa ke tangki berasingan serta pemantauan loji secara berterusan selama 24 jam.
Sekiranya bahan kimia berbahaya terlepas iaitu tidak ditapis sepenuhnya melalui proses rawatan, kesannya boleh mengancam ekosistem, mencemarkan sumber air dan menjejaskan kesihatan awam.
IWK juga pernah berdepan situasi serupa pada tahun 2019 apabila sisa glycerine dibuang secara haram ke dalam lurang pembetung (manhole) awam di Kawasan Perindustrian Kamunting, Bukit Sentosa di Rawang.
Penutup manhole didapati telah dirosakkan, menyebabkan kumbahan melimpah ke Jalan Kamunting 2B, menyebabkan kerja-kerja pemulihan segera dilakukan bagi mengelak pencemaran ke sumber air berdekatan.
Media pada ketika itu turut melaporkan bahawa sisa glycerine berkenaan mencemarkan saliran utama berhampiran Masjid As-Salam, Bukit Sentosa.
Loji rawatan kumbahan IWK dibina khusus untuk merawat air sisa domestik sahaja dan jika sisa toksik dibuang ke dalam sistem boleh menyebabkan gangguan operasi kerosakan loji serta pencemaran.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Ir Mohd Taufik Salleh, apabila sisa toksik dibuang ke dalam sistem ini, ia boleh menyebabkan gangguan operasi, kerosakan loji serta pencemaran yang lebih meluas.
"Pelepasan sisa haram sebegini bukan sahaja mengganggu proses rawatan, malah turut memberikan beban kewangan yang besar kepada syarikat.
"Secara purata, kami membelanjakan sehingga RM500,000 bergantung kepada tahap keseriusan untuk membaik pulih sesuatu insiden.
"Wang ini sepatutnya dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk menambah baik infrastruktur, memperluas liputan perkhidmatan, serta merangsang inovasi demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar," katanya.
Mengikut perundangan, tindakan membuang sisa toksik ke dalam lurang pembetungan merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 122 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta dan/atau penjara sehingga 10 tahun, jika disabitkan kesalahan.
Manakala pelepasan efluen yang dilarang ke dalam paip pembetungan awam atau loji rawatan kumbahan adalah kesalahan di bawah Seksyen 61, yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM100,000, penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Namun, risiko ini tidak hanya terhad kepada sisa industri semata-mata kerana tabiat harian kita juga menyumbang kepada masalah ini.
Sama ada di rumah mahupun di premis perniagaan, amalan pelupusan yang betul mampu memberikan perubahan yang besar.
Sehubungan itu, IWK turut mengingatkan orang ramai agar melupuskan sisa dengan betul.
Barangan seperti tisu basah, lampin pakai buang, tuala wanita dan pakaian, meskipun kelihatan tidak berbahaya, boleh menyebabkan saluran paip pembetungan tersumbat dan menimbulkan sekatan serius.
Halangan seperti ini berisiko merosakkan paip, menyebabkan limpahan kumbahan, banjir di jalan raya serta mencemarkan sungai serta menjejaskan kesejahteraan orang awam.
Pelupusan sisa yang betul penting untuk memastikan sistem pembetungan berfungsi dengan cekap.
Apabila sisa diuruskan secara berhemah, air kumbahan boleh dialirkan dengan selamat ke loji rawatan IWK, menjalani proses rawatan menyeluruh sebelum dilepaskan kembali ke sungai atau sumber air.
Proses ini bukan sahaja melindungi kesihatan orang awam, malah membantu memelihara alam sekitar serta menjamin kelestarian untuk generasi akan datang.
IWK komited dalam mengurus sistem pembetungan negara secara cekap namun, tanggungjawab ini perlu dipikul bersama oleh setiap lapisan masyarakat.
Melalui amalan pelupusan sisa yang betul dan selamat, kita dapat memastikan sistem pembetungan terus berfungsi lancar dan mampan sambil memelihara alam sekitar daripada pencemaran.