suria

Demi menuntut keadilan, keluarga rela kubur digali semula… Ini antara kes berprofil tinggi di Malaysia

Terdapat beberapa kes di Malaysia yang menyebabkan kubur mayat digali semula. -Gambar hiasan AI

KES kematian tragis Zara Qairina Mahathir mencetuskan simpati dan perdebatan hangat di seluruh negara hingga yang terbaharu keluarganya memfailkan permohonan untuk menggali semula kubur Allahyarhamah bagi tujuan bedah siasat.

Keluarga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan itu mendakwa terdapat unsur penderaan dan buli yang mungkin menjadi punca sebenar kematian. 

Langkah penggalian semula kubur seperti yang diminta keluarga Zara jarang berlaku di Malaysia tetapi dibenarkan dalam kes berprofil tinggi atau mencurigakan.

Berikut beberapa kes penggalian semula kubur yang pernah berlaku di negara ini.

1. Nazrin Hassan

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd ditemukan maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 14 Jun 2018.

Namun, selepas dikebumikan pada 15 Jun 2018, laporan forensik mendapati ada kesan petrol pada tubuh, katil, tilam dan telefon bimbit mangsa.

Ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan bomba serta laporan bedah siasat.

Pada 8 Oktober 2018, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan, bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

2. Teoh Beng Hock

Setiausaha politik kepada salah seorang Exco Selangor ketika itu ditemukan maut selepas terjatuh dari tingkat 14 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009.

Bedah siasat terhadap mendiang mendapati kematian Beng Hock akibat kecederaan terjatuh dari tempat tinggi.

Disebabkan tidak berpuas hati terhadap punca kematian Beng Hock, mayatnya dibenarkan untuk digali semula pada 21 November 2009 atas permintaan keluarganya bagi menjalankan bedah siasat kedua.

Penemuan ratusan kubur di Wang Kelian, Perlis antara kes terbesar di negara yang menjadi tumpuan dunia. Foto SMGPenemuan ratusan kubur di Wang Kelian, Perlis antara kes terbesar di negara yang menjadi tumpuan dunia. Foto SMG

3. Nur Aliya Syifa Murad

Kanak-kanak berusia lima tahun itu maut selepas dadanya tertusuk serpihan batu pengasah mata pisau mesin rumput pada 27 Oktober 2017 di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan di Alor Setar, Kedah.

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 30 Oktober 2017 menggali semula kubur jenazah selepas mendapat perintah mahkamah bagi proses siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan (kecuaian menyebabkan kematian).

4. Warga emas

Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kedah menggali semula kubur seorang wanita warga emas yang identitinya tidak didedahkan selepas kematiannya disyaki terdapat unsur jenayah pada 7 Oktober 2022.

Kebenaran diperoleh daripada Mahkamah Kulim dengan kerja penggalian semula kubur mangsa berusia 79 tahun di Tanah Perkuburan Serdang itu dilakukan bagi mengeluarkan semula jasadnya untuk bedah siasat.

Penggalian kubur wanita berkenaan dilakukan susulan laporan dibuat anak mangsa yang mengesyaki kematian ibunya mungkin akibat perbuatan jenayah.

Ini berikutan, barang kemas mangsa iaitu gelang tangan dan cincin, serta telefon bimbit mangsa didapati hilang ketika mayat mangsa ditemukan.

5. Tragedi Wang Kelian

Pada 11 Mei 2015, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan penemuan 139 kubur dan 28 kem sementara di kawasan hutan terpencil di Wang Kelian, Perlis.

Pihak polis bersama forensik bertindak menggali semula kesemua tapak kubur mangsa pemerdagangan manusia itu bagi tujuan pengecaman identiti melalui ujian DNA, pakaian dan barang peribadi.

Selain, bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian dan pengumpulan bukti forensik bagi siasatan jenayah terancang lintas sempadan.

Di dalam Islam, penggalian semula kubur dibenarkan dengan syarat-syarat ketat jika terdapat hajat syarie atau darurat.

Antaranya siasatan jenayah atau menuntut keadilan.

Artikel Lain