suria

Buat apa nak malu? Ini 10 barangan yang berbaloi-baloi beli terpakai, jimat duit!

Barangan terpakai kini menjadi pilihan ramai kerana lebih menjimatkan. -Gambar hiasan AI

SAMA ada sedar atau tidak, sejak kecil kita selalu beranggapan membeli barangan baharu biasanya lebih tahan lama berbanding barangan terpakai.

Tambahan pula produk baharu mempunyai ciri moden dengan diberi pelbagai jaminan daripada penjual dan yang pasti bebas penggunaan daripada individu lain.

Namun, dengan peningkatan kos sara hidup serta inflasi yang menekan, trend membeli barangan terpakai (preloved) dilihat sebagai satu langkah bijak, praktikal dan bertanggungjawab.

Berikut senarai barangan terpakai yang sesuai dibeli, walaupun anda mampu membeli baharu.

1. Rumah

Ini mungkin tidak mengejutkan kerana majoriti urus niaga hartanah adalah melibatkan rumah sedia ada*.

Membeli rumah yang sudah dibina (bukan rumah baharu atau bina dari kosong) tidak semestinya menyebabkan anda kehilangan banyak ciri moden, asalkan rumah tersebut disenggara dengan baik.

Tambahan pula, rumah lama terbukti tiada masalah besar atau ia sudah dibaiki pemilik terdahulu.

2. Pakaian

Kecuali anda sangat mementingkan fesyen terkini, pakaian baharu tidak memberi nilai tambah yang besar.

Pakaian berkualiti tinggi yang dijaga rapi boleh tahan selama bertahun-tahun dan boleh didapati pada harga jauh lebih murah.

Malah, pasaran pakaian preloved kini berkembang pesat di platform seperti Poshmark dan thredUP.

Bagi pakaian harian, kedai bundle mudah dijumpai di mana sahaja.

3. Barang kemas

Barang kemas mungkin boleh rosak atau perlukan pembaikan, tetapi secara umum ia adalah barangan mewah paling tahan lama.

Cincin, rantai, atau gelang lama masih berada dalam keadaan hampir serupa seperti ketika ia mula dijual.

Jika rosak, tukang emas boleh membaikinya hingga hampir sempurna pada kos yang jauh lebih rendah berbanding beli baharu.

4. Buku

Buku cetakan masih laris walaupun media digital semakin popular.

Tapi walaupun anda suka bau buku baharu, hakikatnya baru bukanlah satu keperluan.

Membeli buku terpakai dengan penurunan harga ketara tidak menjejaskan pengalaman membaca.

5. Peralatan senaman 

Anda disarankan membeli peralatan senaman secara terpakai kerana ramai yang membeli tapi jarang menggunakannya, jadi kondisinya masih elok.

Selain itu, peralatan ini tahan lasak dan dibina untuk jangka panjang seperti dumbbell.

Namun, elakkan beli peralatan jenis mesin atau elektronik kerana tiada sistem pembaikan dan penyelenggaraan yang meluas seperti kenderaan.

Emas adalah barangan mewah yang paling tahan lama. -Gambar hiasan AIEmas adalah barangan mewah yang paling tahan lama. -Gambar hiasan AI

6. Perabot

Perabot kayu atau logam yang berkualiti tinggi memang mahal dan boleh bertahan berdekad-dekad lamanya jika dijaga rapi. 

7. Alatan tangan

Alat seperti tukul dan pemutar skru boleh tahan hingga puluhan tahun dan masih berkesan seperti baharu.

Namun, jika anda membeli alat kuasa (power tools) terpakai mungkin berisiko kerana tidak tahu keadaan komponen dalaman.

8.Kereta

Realitinya membeli kereta baharu sering merugikan kerana nilai kereta akan jatuh mendadak sebaik sahaja keluar dari bilik pameran.

Sebaliknya, kereta terpakai yang masih baru dan dijaga baik adalah lebih berbaloi.

Hari ini, banyak kereta terpakai ditawarkan dalam keadaan certified pre-owned, yang hampir setaraf dengan kereta baharu daripada segi jaminan dan kebergantungan.

9. CD dan DVD

Sekiranya anda masih setia pada media fizikal dan tidak berminat dengan penstriman awan, anda pasti tahu bahawa CD dan DVD ialah format storan yang tahan lama.

Jika disimpan dan dikendalikan dengan baik, cakera ini boleh bertahan berdekad-dekad. 

10. Pinggan mangkuk

Nampak pelik makan menggunakan pinggan orang lain tapi sebenarnya, itulah yang kita buat setiap kali makan di restoran.

Pinggan serta cawan mudah disental dan jika dalam keadaan baik, ia tetap berfungsi seperti baharu.

Walaupun kita dibesarkan untuk mengutamakan yang baharu, realitinya barangan terpakai kadangkala lebih berbaloi daripada segi kewangan.

Membeli barangan terpakai tidak bermakna kita mengorbankan kualiti, sebaliknya ia adalah tanda bahawa anda membuat keputusan bijak dan bertanggungjawab.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira