suria

[V] Lantai roda ferris di Terengganu reput, perhati dan pastikan 5 perkara ini sebelum main permainan di funfair

Lantai besi roda ferris tertanggal apabila seorang wanita ingin turun dari permainan berkenaan. -Foto TikTok

DI sebalik keriangan, gelak tawa dan lampu neon yang memeriahkan suasana 'funfair', pasti terselit kebimbangan atau risiko dari segi aspek keselamatan.

Seperti mana berlaku terhadap seorang wanita di Terengganu, Jumaat lalu apabila lantai buaian pusing atau roda ferris yang dinaikinya patah ketika dipijak.

Menerusi video yang tular di TikTok [Tonton Video], wanita itu pasti amat bersyukur kerana lantai itu terjerlus sewaktu dia memijak untuk turun dari permainan berkenaan.

"Orang yang buka 'funfair', tolonglah periksa dulu sebab kadang barang lama ni dah reput, lepas tu nanti claim ala gemuk sangat naik.

"Kalau rasa tak boleh naik untuk yang gemuk tulis awal-awal, nasib tak jadi benda ni masa dekat atas sana," kata pemilik video yang juga saudara kepada wanita tersebut.

Permainan roda feris di sebuah funfair di tutup selepas kejadian besi pemijak tertanggal. -Foto TikTokPermainan roda ferris di sebuah funfair ditutup selepas kejadian besi pemijak tertanggal. -Foto TikTok

Sementara itu, penyedia funfair, Benson’s M&L Pleasure Fairs yang beroperasi di United Kingdom, menyarankan orang ramai supaya meneliti terlebih dahulu keadaan permainan sebelum memutuskan untuk menaikinya.

Katanya, pemeriksaan terhadap retakan, karat, dan operasi permainan perlu dilakukan, selain memastikan terdapat papan arahan keselamatan yang jelas.

Benson’s M&L Pleasure Fairs turut memberikan lima tip keselamatan penting sebelum pengunjung menaiki permainan di funfair.

1. Lakukan pemeriksaan menyeluruh

Periksa permainan dari atas ke bawah sebelum anda menaikinya. Pastikan ia bersih dan berfungsi dengan lancar.

Jika terdapat sebarang masalah, laporkan kepada pengendali dan pastikan ia dibaiki terlebih dahulu.

2. Kenal pasti kerosakan atau retakan

Jika anda melihat karat, hakisan atau komponen yang retak atau longgar, elakkan menaikinya.

Beritahu pihak bertanggungjawab agar permainan tidak diteruskan sehingga pemeriksaan lanjut dibuat.

3. Pantau kelancaran operasi

Sebelum menaiki permainan, perhatikan dahulu dari luar sama ada ia bergerak lancar tanpa sebarang gangguan. 

Perhatikan juga struktur binaan untuk pastikan ia kukuh dan selamat.

4. Peka dengan tanda penyelenggaraan

Bunyi seperti besi berkeriut atau menggesel adalah petunjuk bahawa permainan mungkin tidak diselenggara dengan baik.

Tanya kepada petugas bila kali terakhir penyelenggaraan dijalankan dan pastikan ia diperiksa secara berkala.

5. Baca arahan keselamatan

Setiap permainan lazimnya mempunyai papan arahan yang menyatakan had umur, ketinggian, cara duduk, serta keperluan pemakaian tali pinggang keselamatan.

Bacalah arahan ini dengan teliti sebelum menaiki permainan.

 

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira