suria

[V] 'Ayam atau telur dulu?' Pakar biologi Australia-Ustaz Azhar Idrus berbeza pendapat, ada hujah sendiri

Pakar biologi mendakwa telur wujud terlebih dahulu berbanding ayam. -Gambar hiasan

'AYAM dulu atau telur dulu?' adalah ungkapan persoalan lazim yang sering mencetuskan perdebatan sejak dulu hingga sekarang.

Soalan ini bukan sahaja membuatkan setiap individu cuba berfikir secara logik, malah mengundang renungan mendalam terhadap asal-usul kehidupan.

Menurut kajian oleh pakar biologi evolusi dan dilaporkan oleh Australian Academy of Science, telur telah wujud ratusan juta tahun lebih awal daripada kemunculan ayam moden. 

Telur pertama dipercayai berasal daripada haiwan amniot, spesies yang bertelur di darat dengan sistem membran pelindung yang muncul kira-kira 340 juta tahun dahulu.

Sebaliknya, ayam moden (Gallus gallus domesticus) hanya muncul daripada hasil proses penjinakan ayam hutan merah (Gallus gallus) sekitar 10,000 tahun lalu, dengan kajian DNA menunjukkan kemungkinan ia wujud seawal 58,000 tahun dahulu.

“Seekor ayam pertama lahir melalui mutasi genetik daripada dua haiwan hampir menyerupai ayam, dan proses ini berlaku dalam telur.

"Jadi, dari sudut evolusi, telur datang dahulu,” jelas Pakar Biologi Evolusi, Profesor Rick Shine dari University of Sydney, Australia.

Khasiat telur ayam kampung dikatakan lebih baik berbanding telur ayam biasa kerana mengandungi lebih banyak nutrien semulajadi. -Gambar hiasan AIPersoalan tentang kewujudan ayam dan telur sudah lama menjadi pertikaian. -Gambar hiasan AI

Perspektif Islam

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus memaklumkan Islam menjelaskan bahawa sesuatu penciptaan bermula dengan makhluk, bukan hasilnya dan maka, ayam diciptakan terlebih dahulu sebelum wujudnya telur.

“Allah tidak buat telur dahulu, Allah buat binatang. Lepas buat binatang, baru ada telur,” jelasnya dalam satu ceramah [Tonton Video].

Beliau turut mengaitkan penjelasan itu dengan penciptaan manusia, yang mana Allah menciptakan Nabi Adam terlebih dahulu daripada tanah, dan hanya selepas itu datanglah keturunan manusia melalui air mani.

“Allah tak buat air mani dulu, Allah buat Nabi Adam dulu. 

"Nabi Adam dijadikan daripada tanah dengan beberapa genggaman warna tanah merah, hitam, putih, kuning maka terhasillah manusia dengan pelbagai warna kulit,” katanya.

Penjelasan itu turut disandarkan kepada hadis yang menyebut perihal asal-usul manusia serta perbezaan warna kulit yang berasal daripada jenis-jenis tanah.

Dalam konteks Islam, persoalan ayam atau telur dahulu dijawab dengan jelas bahawa Allah menciptakan ayam terlebih dahulu, kemudian barulah wujud telur sebagai hasil ciptaanNya.

 

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira