suria

Mahu karya anak menonjol di mata juri? Guru seni kongsi 5 strategi menang pertandingan mewarna Hari Kebangsaan

Nazia memberikan panduan untuk menang pertandingan mewarna sempena Hari Kebangsaan. -Foto Facebook Nazia Suhaimi

SETIAP Ogos, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar memperingati detik bersejarah negara, tetapi juga menjadi platform untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak.

Antaranya aktiviti pertandingan mewarna bertemakan kemerdekaan.

Namun, dengan begitu banyak penyertaan, bagaimana anak anda boleh menonjol di mata juri?

Berikut lima strategi penting dikongsi guru seni melukis, Nazia Suhaimi yang boleh membantu anak anda bukan sekadar menyertai, tetapi berpotensi menang pertandingan.

1. Gunakan ruang kosong sebaiknya

Kertas mewarna kebiasaannya tidak sepenuhnya dipenuhi ilustrasi. Di sinilah anak-anak boleh mencuri perhatian juri.

Ajar mereka menambah lukisan tambahan di ruang kosong, seperti bendera berkibar, pemandangan kampung atau rakyat Malaysia pelbagai kaum. 

Ini menunjukkan kreativiti, kefahaman terhadap tema, dan keberanian mencipta.

Contohnya, jika tema adalah 'Sayangi Malaysiaku', mereka boleh lukis seorang kanak-kanak memegang bendera dengan latar belakang sawah padi atau KLCC.

2. Perkenalkan elemen-elemen kemerdekaan

Anak-anak mungkin kurang arif tentang apa itu elemen kemerdekaan.

Oleh itu, sebagai ibu bapa kenalkan mereka kepada simbol-simbol unik yang menggambarkan identiti Malaysia.

Contohnya, KLCC bangunan ikonik di Kuala Lumpur; wau sebagai seni budaya Melayu dari Kelantan; Gunung Kinabalu di Sabah sebagai gunung tertinggi di Malaysia dan burung enggang sebagai simbol Sarawak.

Selain itu bunga raya dan Raflesia, nasi lemak dan teh larik juga menjadi lambang budaya rakyat Malaysia.

Dengan menggabungkan elemen-elemen ini ke dalam lukisan, anak-anak bukan sahaja mewarna, tetapi menceritakan kisah Malaysia melalui karya mereka.

Nazia Suhaimi membuka kelas seni melukis dan mewarna untuk kanak-kanak secara dalam talian dengan nama Kelas Seni CikYa. - Foto Facebook Nazia SuhaimiNazia Suhaimi membuka kelas seni melukis dan mewarna untuk kanak-kanak secara dalam talian dengan nama Kelas Seni CikYa. - Foto Facebook Nazia Suhaimi

3. Latih lukisan dan kawalan masa di rumah

Bakat sahaja tidak mencukupi tetapi juga memerlukan latihan sebagai kunci kejayaan.

Justeru, didik anak mewarna dalam tempoh sebenar pertandingan, contohnya satu hingga dua jam. 

Ini bagi melatih mereka fokus, sabar dan kemahiran pengurusan masa.

4. Teknik mewarna dimulakan dengan latar belakang

Jika menggunakan medium seperti oil pastel atau krayon, satu teknik penting ialah warnakan latar belakang dahulu.

Ini bukan saja menjimatkan masa, tapi membantu memastikan warna utama tidak berserabut.

5. Jangan abaikan bahagian tulisan

Selalunya, kertas mewarna disertakan dengan kata-kata atau slogan patriotik, misalnya 'Selamat Menyambut Hari Kebangsaan'.

Pastikan anak mewarnakan tulisan ini dengan warna yang berbeza daripada latar belakang supaya ia lebih jelas, menarik, dan tidak tenggelam.

Tambah Nazia, sebagus mana idea dan warna yang digunakan, kekemasan tetap menjadi penentu markah utama.

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira

Bapa Amir Raja Lawak meninggal dunia