SIAPA berhak menerima duit pampasan hibah jika pemberi dan penerima meninggal dunia sering menjadi persoalan ramai.
Terutamanya dalam kes kemalangan maut melibatkan lebih daripada seorang mangsa, khususnya dalam kalangan ahli keluarga.
Menurut Konsultan Takaful, Adnan Qayyum jawapannya bergantung kepada siapa yang disahkan meninggal dunia terlebih dahulu, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Tafsiran 1948 & 1967.
"Sekiranya penerima hibah meninggal dunia dahulu, hibah terbatal dan wang kembali kepada pemberi. Apabila pemberi pula meninggal, wang itu akan menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.
"Sekiranya pemberi hibah meninggal dunia dahulu, hibah sah dan wang menjadi milik penerima.
"Namun, jika penerima juga sudah meninggal dunia, wang itu akan menjadi harta pusaka penerima dan dibahagikan mengikut faraid berdasarkan warisnya," kongsinya di Threads.
Adik beradik mula berpecah belah apabila melibatkan harta pusaka. -Gambar hiasan
Adnan menegaskan, isu pengurusan harta tidak boleh dipandang ringan kerana walau banyak mana harta dikumpulkan, tanpa perancangan yang rapi ia tetap berpotensi menjadi punca pertikaian di kemudian hari.
"Kisah Hibah RM1 juta tu membuka mata, kerana duit pampasan hibah pun orang nak berebut walaupun dilindungi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013," katanya.
Bagi mengelakkan perebutan dan memastikan agihan teratur, Adnan menjelaskan di As-Salihin iaitu syarikat amanah yang memberi fokus terhadap perancangan harta pusaka Islam, terdapat instrumen khas dikenali sebagai Pri-Ti atau Amanah Takaful yang mempunyai tujuh fungsi Utama.
1. Duit diagih mengikut jadual, bukan sekali gus, bagi mengelakkan pembaziran.
2. Perlindungan kepada anak kecil atau OKU tanpa perlu menunggu umur 18 tahun atau melalui proses mahkamah.
3. Niat penderma terjamin dengan wang digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.
4. Pelan sandaran iaitu jika waris meninggal serentak, wang tetap diagih mengikut arahan asal.
5. Mengelakkan perebutan harta kerana ia tidak masuk dalam pusaka dan tidak tertakluk kepada faraid.
6. Urusan dilakukan secara profesional oleh As-Salihin dengan telus.
7. Menjamin masa depan waris dengan bekalan kewangan jangka panjang.
“Tak kira berapa umur kita, carilah jalan untuk uruskan harta dan hutang. Supaya nanti tak jadi beban atau punca perebutan,” ujar Adnan.