suria

[V] Sangkut di bonggol sebab 'lowered' sampai kena 'CPR', ramai tak serik! Ini 7 sebab lelaki obses bikin kereta

Aksi beberapa lelaki cuba menggerakkan kereta yang tersangkut pada bonggol jalan. -Gambar media sosial

AKSI sekumpulan lelaki cuba 'menyelamatkan' sebuah kereta hitam yang tersangkut di bonggol jalan membuatkan warganet terhibur.

Kereta jenis BMW itu diubah suai menjadi terlalu rendah (lowered) mengakibat ia tersangkut di bahagian tengah, dalam kejadian di Bukit Serdang, Selangor pada Isnin lalu.

Berdasarkan perkongsian video di Facebook [Tonton Video], beberapa orang lelaki dilihat seolah-olah melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) terhadap kereta tersebut.

Video berdurasi 28 saat itu menunjukkan mereka cuba melepaskan kereta itu dengan melonjak-lonjak pada bahagian belakang, namun usaha itu gagal.

"Saya ingatkan pertolongan cemas tadi seperti bantuan CPR. Aduh tertipu kita.

"Klinik sebelah je tu, panggil doktor suruh tengok apa yang sakit," demikian antara gurauan netizen.

Kejadian kereta tersangkut akibat diubah suai seupama itu sering berlaku, malah kerap tular di media sosial sebelum ini.

Pasti ramai tertanya-tanya kenapa golongan berkereta terutama lelaki sanggup mengubah suai kendereaan mereka sedemikian. 

Kereta yang diubah suai terlalu rendah biasanya akan tersangkut di bonggol jalan. -Gambar media sosialKereta yang diubah suai terlalu rendah biasanya akan tersangkut di bonggol jalan. -Gambar media sosial

1 Ekspresi diri dan identiti

Bagi sebahagian besar lelaki, kereta bukan sekadar alat pengangkutan, malah cerminan siapa diri mereka. 

Modifikasi seperti warna, sistem audio berkuasa, pemasangan kit badan tambahan menggambarkan personaliti dan selera pemilik.

2. Kepuasan dan pencapaian

Melakukan sendiri ubah suai pada kenderaan memberikan rasa puas yang sukar digambarkan. 

Sama ada menukar sistem suspensi atau menaik taraf enjin, hasilnya bukan sahaja boleh dilihat tetapi juga dirasai di jalan raya.

3. Minat terhadap teknologi dan kejuruteraan

Ramai lelaki menikmati cabaran teknikal menerusi proses membaiki, 'tuning' dan mencipta sistem baharu. Ia seperti menyelesaikan teka-teki yang memberi ganjaran.

Lelaki secara umum lebih tertarik kepada sistem yang boleh diubah, difahami dan diuji dengan menjadikan kereta sebagai objek minat semulajadi.

4. Ingin menonjol dan dihargai

Modifikasi yang unik sering menjadi tarikan di media sosial dan acara komuniti. 

Bagi sesetengah lelaki, hasil kerja tangan mereka pada kenderaan adalah sesuatu yang patut dibanggakan, lebih-lebih lagi apabila mendapat pujian.

5. Simbol status 

Kereta yang diubah suai juga menjadi lambang gaya hidup. Ia melambangkan cita rasa, aspirasi dan kadangkala status kewangan pemiliknya.

6. Komuniti dan persahabatan

Minat terhadap modifikasi menghubungkan individu dengan komuniti yang berkongsi minat sama. 

Di sinilah terjalinnya persahabatan baharu menerusi aktiviti seperti autoshow, konvoi atau bengkel hujung minggu.

7. Elemen nostalgia 

Tidak kurang juga yang memilih untuk mengubah suai kereta lama milik keluarga sebagai penghargaan kepada kenangan masa lalu.

Proses restorasi menjadi cara menghidupkan semula warisan atau momen bermakna.

 

Artikel Lain

“Belum ada tarikh” - Erra Fazira