ISU lambakan warga asing menjalankan perniagaan di negara ini sudah lama mengundang keresahan rakyat.
Terbaharu Pengurus Besar Burgerman, Nordin Mat turut berkongsi pengalamannya selepas disapa seorang warga asing ketika dia meninjau sebuah premis perniagaan di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.
Menurut Nordin warga asing yang menaiki motosikal itu menegurnya dan menyatakan minat untuk menyewa kedai berkenaan.
Katanya, lelaki tersebut berhasrat membuka mini market serta menawarkan perkhidmatan penghantaran barang ke rumah.
"Saya pun tanya berapa sewa yang dia sanggup bayar. Dia senyum lebar dan kata... RM8,500 sebulan bos, bayar enam bulan sekali gus pun boleh. Saya terdiam.
"Dalam hati terdetik, aku rakyat Malaysia nak buka kedai burger BGM Burgerman pun kena kira modal 18 kali sebelum berani bayar sewa macam tu," kongsinya di Facebook.
Terdapat syarat yang perlu dipatuhi oleh penyewa. -Gambar hiasan
Menurut Nordin individu tersebut mendakwa sudah mempunyai 'orang dalam' yang boleh menguruskan urusan permit kerja.
"Saya tanya lagi permit kerja kau macam mana? Dia jawab... tak apa bos, itu semua settle. Saya ada orang dalam urus. Siap offer nak bayar cash terus.
"Dia siap cerita sekarang ramai geng dia dah buka restoran, bengkel, kedai runcit… semua hidup senang-lenang," katanya.
Tambah Nordin, situasi itu berbeza dengan peniaga tempatan yang perlu menguruskan pelbagai perkara bagi menjalankan perniagaan.
"Kita rakyat di negara ini, nak urus lesen pun macam nak mohon visa masuk planet lain. Aku bukan dengki orang rajin cari makan.
"Tapi kalau dah pekerja asing boleh hidup macam tauke besar, kita ni tuan rumah asyik kena bayar cukai dan lesen bagai, memang pelik sistem ni.
"Dunia makin gelabah, atau kita saja yang pasrah?" katanya.
Kes ini menyentuh beberapa aspek perundangan Malaysia:
1. Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002)
- Seksyen 6(1)(c): Warga asing tanpa pas/permit sah melakukan aktiviti perniagaan adalah kesalahan imigresen.
- Hukuman: Denda maksimum RM10,000 atau penjara hingga 5 tahun atau sebatan (bergantung kesalahan).
2. Undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
- Semua perniagaan perlu lesen perniagaan dan iklan daripada majlis bandaraya/daerah.
- Warga asing lazimnya tidak dibenarkan memohon terus.