SERAMAI 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 di Portal Rasmi SARA, https://sara.gov.my mulai Khamis.
Kementerian Kewangan memaklumkan setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan ini, termasuk penerima SARA sedia ada.
Menurutnya, tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan sebagai derma kepada NGO, tempat ibadat dan sebagainya.
Langkah-langkah pembelian menggunakan MyKad.
Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400.
Oleh itu orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau 'scammer', memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara langsung kepada MyKad penerima.
Info Penghargaan SARA
1. Premis
- Boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari masa ke semasa.
- Antaranya, pasar raya besar seperti Mydin, Giant, Econsave, Lotus, 99 Speedmart, serta kedai-kedai runcit lain.
2. Kategori barangan
- Lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori termasuk makanan asas.
- 14 kategori itu merangkumi beras, telur, mi segera, makanan dalam tin, minuman, bahan perasa, biskut.
- Serta minyak masak, roti, produk kebersihan diri, tepung, barangan kebersihan rumah, ubat-ubatan dan keperluan sekolah.
3. Langkah pembelian
- Pilih barangan keperluan, tunjuk MyKad untuk pengesahan.
- Penerima SARA perlu menukar nombor pin sementera (6 digit pertama MyKad) kepada nombor pin baharu.
- Juruwang mengimbas barang dan penerima kemudian bayar menggunakan MyKad.
Tempoh pengunaan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.
Kredit yang tidak digunakan boleh dibawa ke bulan berikut tetapi mesti digunakan sebelum 31 Disember 2025 dan tidak boleh dipindah milik.
Baki yang tidak digunakan selepas 31 Disember 2025 akan luput dan akan diagih semula kepada golongan rentan.