SEORANG majikan meluahkan rasa kecewa selepas mendapati salah seorang pekerjanya menghantar sijil cuti sakit (MC) palsu.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu memaklumkan dia menyedari staf berkenaan menipu kerana memberi MC daripada klinik yang tidak beroperasi pada hujung minggu.
Menurutnya, pekerja terbabit mengemukakan MC bertarikh 16 Ogos pada Sabtu, namun dia mendapati tarikh itu mencurigakan kerana klinik berkenaan hanya beroperasi pada hari biasa.
“Hari Isnin (18 Ogos), saya hubungi klinik untuk pengesahan dengan memberikan nombor MyKad staf dan tarikh MC tersebut.
"Pihak klinik sahkan mereka tidak beroperasi pada Sabtu, dan rekod terakhir staf itu ambil MC adalah pada 9 April,” katanya sambil menambah sijil yang dipalsukan adalah dari klinik kerajaan.
Majikan tersebut turut mengakui sebelum ini sering berlembut dengan pekerjanya, termasuk membenarkan mereka tidak hadir bekerja atas alasan peribadi.
Majikan memberi kelonggaran kepada staf tidak masuk kerja bagi urusan peribadi. -Gambar hiasan
“Saya bukan ketua yang sempurna. Ada yang tak masuk kerja sebab gaduh dengan boyfriend, saya lepaskan. Ada yang tak attach MC pun saya okay.
"Tak masuk kerja sebab nak pergi konsert pun okay. Tapi bila staf sampai sanggup tipu macam ni, saya rasa sangat terkilan,” luahnya.
Selepas berbincang dengan pembantunya, wanita itu berkata mereka sepakat memberikan peluang kedua kepada staf terbabit dengan harapan dia berubah.
Impak dan risiko tipu, palsukan MC
Kes seperti ini bukan sahaja menjejaskan hubungan kepercayaan antara majikan dan pekerja, malah boleh membawa kesan serius:
1. Tindakan tatatertib
- Di bawah undang-undang buruh, pemberian maklumat atau dokumen palsu adalah satu bentuk salah laku serius yang boleh membawa kepada tindakan disiplin.
- Malah terdapat beberapa kes ada pekerja yang dibuang.
2. Kesalahan jenayah
- Menggunakan MC palsu boleh dianggap sebagai pemalsuan dokumen, satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 468/471) dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
3. Hilang peluang kerjaya
- Rekod buruk seperti ini bukan sahaja merosakkan reputasi pekerja di tempat kerja sekarang, malah boleh menjejaskan peluang pekerjaan pada masa hadapan.
4. Merosakkan suasana tempat kerja
- Apabila majikan hilang kepercayaan, staf lain yang jujur turut terkesan kerana pengurusan akan lebih ketat dan tegas selepas insiden.