TINDAKAN segelintir penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya seperti gaya Superman atau fly (terbang) di lebuh raya disifatkan sebagai unsafe act yang berpotensi mengundang kemalangan maut.
Menurut seorang pengguna maya, aksi fly tersebut bukan sahaja menjejaskan kawalan motosikal malah mengehadkan keupayaan penunggang untuk bertindak balas sewaktu kecemasan.
“Bila buat gaya Superman, kaki dah tak ada di brek.
"Bila tengah laju, brek mengejut menggunakan brek depan boleh menyebabkan badan terus terhumban ke hadapan kerana pusat graviti badan sudah berubah,” kata lelaki tersebut.
Aksi 'fly' berisiko tinggi menyebabkan kemalangan kerana motosikal tidak sempat mengelak kenderaan. -Gambar tangkap layar media sosial
Tambahnya lagi, jarak rapat antara motosikal di lebuh raya meningkatkan lagi risiko kemalangan, terutama jika berlaku pergerakan mengejut.
"Lorong lebuh raya hanya ada dua. Ada kemungkinan kenderaan dari lorong kiri nak memotong masuk ke kanan. Kalau penunggang tak bersedia, mereka tak sempat bertindak," jelasnya.
Lelaki itu turut menegaskan insiden membabitkan motosikal jenis Yamaha RXZ sering berulang saban tahun, namun masih ramai penunggang enggan mengambil iktibar.
"Setiap tahun mesti ada kes melibatkan RXZ, tapi macam langsung tak nak belajar dari pengalaman lalu," katanya.
Dia berkata demikian merujuk kepada kemalangan membabitkan sekumpulan lelaki bermotosikal yang dalam perjalanan menuju ke Program Himpunan RXZ Members 7.0 di Terengganu [Tonton Video].
Antara punca kemalangan aksi Superman
- Kaki tidak berada di pedal brek, menyebabkan tindak balas kecemasan menjadi perlahan.
- Brek mengejut menggunakan brek depan ketika kelajuan tinggi boleh menyebabkan penunggang tercampak ke hadapan.
- Pusat graviti badan berubah kerana kaki tergantung, mengurangkan kestabilan motosikal.
- Jarak antara motosikal terlalu dekat, meningkatkan risiko pelanggaran ketika berlaku insiden.
- Lorong lebuh raya terhad kepada dua sahaja, memudahkan kenderaan lain memotong secara tiba-tiba.