suria

Pesakit jeling staf, bengang klinik enggan ‘edit’ resit rawatan! Ketahui kesan jika kantoi tipu ‘claim’

Terdapat pekerja mengambil kesempatan menipu syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu. -Gambar hiasan

SEORANG doktor di sebuah klinik berkongsi pengalaman berdepan pesakit wanita yang cuba meminta resit rawatan diubah nilainya semata-mata untuk membuat tuntutan.

Menurut doktor wanita itu, pesakit berkenaan baru sahaja datang kali kedua ke kliniknya dan membayar secara tunai sebanyak RM50 untuk rawatan serta ubat.

Katanya, wanita itu meminta resit rawatan berkenaan atas nama seorang lelaki dipercayai kekasihnya. 

“Tak lama lepas tu dia WhatsApp klinik, minta staf adjust resit RM50 tu jadi RM350 sebab nak claim. Siap cakap resit asal boleh simpan,” katanya.

Namun doktor itu menegaskan pihaknya tidak akan mengubah jumlah yang tercatat dalam sistem kerana ia adalah rekod rasmi.

Maaf puan, memang tak boleh nak adjust. Doktor tak buat kerja menipu,” tegas staf klinik yang diarahkan untuk menjawab mesej berkenaan.

Ada syarikat yang menawarkan faedah perubatan sebagai kemudahan kepada pekerja. -Gambar hiasan Ada syarikat yang menawarkan faedah perubatan sebagai kemudahan kepada pekerja. -Gambar hiasan 

Beliau berkata minggu berikutnya wanita yang sama datang semula dan sekali lagi mencuba nasib dengan permintaan sama ketika sesi konsultasi.

“Dia tanya saya sendiri, boleh tak adjust bil hari ni jadi lebih RM300. Bil sebenar masa tu RM70 je. Saya terus jawab, tak boleh, nanti awak makan duit haram, tak takut ke?

"Dia cuma sengih. Kat luar masa bayar dia jeling staf sambil sambar plastik ubat dia.

“Harap lepas ni cuba klinik lainlah. Klinik saya semua transaksi kena jujur, barulah berkat," katanya.

Impak ubah tuntutan 

1. Kesalahan menipu 

- Mengubah jumlah resit untuk tujuan tuntutan dianggap 'fraud' (penipuan).

- Ia boleh disabitkan kesalahan di bawah undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan (Seksyen 420 – tipu & memperdaya) atau Akta Perlindungan Data dan rekod kesihatan. 

2. Tindakan disiplin 

- Jika pesakit buat tuntutan palsu kepada majikan, syarikat insurans atau agensi, mereka boleh dibuang kerja, disenarai hitamkan insurans, atau dituntut ganti rugi.

3. Rekod dan integriti tercalar

- Setiap klinik ada sistem, jika doktor setuju ubah tuntuan, rekod klinik jadi tidak sahih.

- Doktor dan klinik juga boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hilang lesen perubatan jika terbukti terlibat.

4. Duit tuntutan tidak halal

- Dari segi etika dan agama, duit yang diperoleh daripada tuntutan penipuan dikira duit haram.

- Ia menjejaskan keberkatan rezeki serta boleh membawa kesan buruk dalam kehidupan.

5. Kesan lebih luas kepada sistem

- Jika penipuan tuntutan berleluasa, kos insurans dan faedah pekerja akan naik sebab syarikat perlu tanggung kerugian.

- Akhirnya pekerja lain yang jujur turut terkesan dengan premium lebih mahal atau syarat lebih ketat.

Artikel Lain