SEORANG wanita berkongsi pengalaman pahit apabila terpaksa membayar RM1,010 bagi menggantikan MyKad miliknya yang hilang.
Pada awalnya, dia hanya mahu mendapatkan maklumat mengenai cara penebusan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), namun tersedar bahawa MyKad tiada bersama.
Menurutnya, sebelum ini MyKad dan lesen memandu sentiasa disimpan bersama, tetapi tidak pasti bagaimana kad pengenalannya itu boleh hilang.
"Terima kasih banyak atas semua respon. Sebenarnya saya hanya mencari tip bagaimana nak uruskan hal ini. Bila orang sibuk tentang SARA, baru saya sedar MyKad tiada bersama.
"Saya sudah buat laporan polis dan pergi ke UTC, namun dikenakan caj sebanyak RM1,010. Kesilapan memang pada saya sendiri," kongsinya di media sosial.
Kadar bayaran hilang MyKad.
Jelasnya ini bukan kali pertama MyKad miliknya hilang dan disebabkan itu kadar bayaran yang dikenakan lebih RM1,000.
"Empat tahun lepas MyKad saya pernah hanyut dalam banjir, tapi waktu itu saya malas nak buat laporan, terus perbaharui sahaja seperti biasa," katanya.
Dia juga mengakui jarang menggunakan MyKad kerana kebanyakan urusan harian dilakukan melalui aplikasi mudah alih seperti QR dan Apple Pay.
Keadaan itu menyebabkan kehilangan kad pengenalannya hanya disedari apabila pengumuman berkaitan SARA memerlukan penggunaan dokumen tersebut.
Ramai yang kurang arif dan mengambil remeh, namun sebenarnya insiden kehilangan dokumen penting ini memberikan kesan besar kepada urusan harian termasuk hal kewangan, keselamatan diri dan urusan rasmi yang lain.
Impak hilang MyKad
1. Tidak boleh akses bantuan kerajaan
- SARA, bantuan persekolahan dan pelbagai insentif tidak boleh dituntut tanpa MyKad.
2. Sekatan urusan rasmi
- Akaun bank, pendaftaran sim kad, rawatan hospital, malah temuduga kerja memerlukan MyKad sebagai pengesahan identiti.
3. Risiko undang-undang
- Di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959, kegagalan memiliki MyKad sah boleh membawa denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun.
4. Penyalahgunaan identiti
- Jika MyKad jatuh ke tangan pihak yang salah, ia boleh digunakan untuk pinjaman, penipuan kewangan atau jenayah lain.
5. Halangan perjalanan dan lesen
- Permohonan pasport, pembaharuan lesen memandu, dan urusan imigresen tidak dapat dilakukan tanpa MyKad.