BAGI kebanyakan orang, menetapkan telefon bimbit dalam mod senyap ketika tidur adalah biasa bagi mengelak diri daripada diganggu.
Namun, bagi seorang wanita, keputusan itu menjadi detik paling memilukan dalam hidupnya apabila dia terlepas panggilan terakhir daripada ahli keluarga yang ditimpa kemalangan.
Menurut rakannya yang berkongsi kisah tersebut, kejadian tragis itu berlaku kira-kira empat tahun lalu dan masih berbekas di sanubari sahabatnya itu.
"Kawan aku ni kalau tidur, dia biasanya off data, phone tak silent. Tapi ada sekali tu, dia tetiba nak silent phone sebab tak nak ada gangguan masa tidur. Sebelum tu dia baru je lepas video call dengan mak dia.
"Esok paginya, bila dia bangun dalam pukul 6.30 pagi macam tu benda pertama yang dia tengok phone dia.
"Dia nak tengok jam je kononnya. Tapi yang buat dia lagi terkejut sebab ada banyak notification, beratus missed call dan mesej daripada famili dengan saudara mara dia," kongsinya.
Rupanya pada malam kejadian, ibu dan adik-adiknya kemalangan ketika dalam perjalanan balik kampung pada sekitar pukul 11 malam.
Sebahagian besar daripada kita tidak suka diganggu ketika tidur. -Foto Dreamstime
"Yang paling dia terkilan, salah seorang adik yang terlibat dalam kemalangan tu berkali-kali call dan mesej dia lepas kemalangan tu.
"Ayat adik dia kak long, angkatlah call. Kitaorang accident ni. Jalan gelap. Mak tak sedar. Angah tak tahu nak buat apa dah ni. Tak ada orang datang tolong pun," katanya.
Tragedi tersebut meragut nyawa ibunya di lokasi kejadian, manakala adik bongsunya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan hanya seorang adik lelaki terselamat.
Wanita berkenaan menjadi orang terakhir mengetahui punca sebenar kerana tidak menjawab panggilan yang masuk sepanjang malam.
Tip elak terlepas panggilan kecemasan
1. Jangan letak telefon dalam mod senyap sepenuhnya
- Gunakan mod Do Not Disturb yang masih membenarkan panggilan penting masuk daripada senarai favourite contacts seperti ahli keluarga terdekat.
2. Aktifkan fungsi kecemasan
- Telefon pintar ada fungsi khas yang membolehkan panggilan daripada nombor tertentu tetap berdering walaupun dalam mod senyap.
3. Pastikan bateri sentiasa mencukupi
- Telefon yang mati ketika saat genting boleh menyebabkan anda terlepas berita atau bantuan kecemasan.
4. Gunakan smartwatch atau peranti sokongan
- Sesetengah jam pintar boleh bergetar atau berbunyi jika ada panggilan kecemasan walaupun telefon dalam keadaan senyap.