ORANG ramai diingatkan agar lebih berhati-hati ketika menggunakan eskalator, khususnya apabila membawa anak-anak kecil.
Ia susulan insiden membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Kedah pada Jumaat.
Menurut Kaunselor, Lukman Moidin yang juga saksi kejadian, kaki kanak-kanak tersebut tersepit di bahagian hujung eskalator akibat kasut jenis getah yang dipakainya tersangkut.
“Saya lihat sendiri kasutnya termasuk dalam celahan eskalator dan menarik sekali kaki kanak-kanak itu.
"Mujur kejadian disedari segera oleh orang ramai yang membantu,” katanya menerusi perkongsian di TikTok [Tonton Video].
Beliau menambah, kasut jenis getah dan bertali sangat berbahaya kerana mudah tersangkut di celahan getah penghubung eskalator.
“Kadang-kadang kita lalai, tetapi di hujung eskalator risiko paling tinggi. Jika tak berhati-hati, ia boleh mengundang kecederaan serius.
“Insiden ini benar-benar mengerikan. Sampai sekarang saya masih terbayang keadaan darah di tempat kejadian dan jeritan kanak-kanak itu,” katanya lagi.
Lukman berharap agar orang ramai, khususnya ibu bapa, mengambil pengajaran dan menjadikan insiden tersebut sebagai pengajaran.
Beliau juga berkongsi beberapa tip dan panduan untuk ibu bapa ketika menggunakan eskalator bersama anak kecil.
Kasut jenis getah mudah terlekat pada eskalator. -Foto TikTok
Tip ketika menggunakan eskalator bersama anak kecil:
1. Pegang tangan anak
- Jangan biarkan mereka berdiri sendiri tanpa pengawasan.
2. Dukung anak kecil
- Jika anak masih kecil (bawah lima tahun), lebih selamat dukung daripada biarkan berdiri.
3. Elakkan kasut jenis getah dan tali longgar
- Kasut jenis ini mudah tersepit di celah eskalator.
4. Jaga jarak dari tepi dan hujung
- Arahkan anak berdiri di tengah-tengah anak tangga, bukan di tepi.
5. Angkat anak di hujung eskalator
- Sebelum sampai ke lantai seterusnya, angkat atau pastikan kaki anak tidak mencecah penghujung celahan eskalator.
6. Jangan biar anak duduk atau bermain
- Eskalator bukan tempat bermain, ajar anak tentang bahaya.
7. Peka dan fokus
- Jangan leka dengan telefon ketika membawa anak menaiki eskalator.