suria

Pelabuhan Klang antara ‘port’ tersibuk dunia, atasi Hong Kong dalam senarai Lloyd’s List 2025

Pelabuhan Klang juga berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah seperti mana pelabuhan lain.

SEJARAH baru terlakar dalam sektor maritim Malaysia apabila Pelabuhan Klang tersenarai di tangga ke-10 dalam kelompok pelabuhan kontena tersibuk dunia.

Pengumuman itu dibuat Lloyd’s List 2025 menerusi senarai 'Top 100 Ports'.

Lebih membanggakan, pencapaian ini turut menyaksikan Pelabuhan Klang mengatasi Hong Kong sekali gus mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini. 

Kejayaan ini diraikan dengan penuh makna sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, melambangkan semangat cekal, perpaduan dan kemajuan negara.

Untuk rekod, pada 2024, Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki), meningkat 4.1 peratus berbanding 14.06 juta TEU pada 2023. 

Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan 8.9 peratus aktiviti import dan eksport, hasil permintaan berterusan terhadap barangan buatan, industri dan pengguna.

Pemandangan udara menunjukkan deretan kontena kargo di Northport, Pelabuhan Klang. -Foto Northport

Pemandangan udara menunjukkan deretan kontena kargo di Northport, Pelabuhan Klang. -Foto Northport

Walaupun berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa.

Berdasarkan momentum ini, throughput (jumlah kargo atau kontena yang dikendalikan) dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan dalam kalangan hab maritim utama dunia.

Peningkatan konsisten

Lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu, dari tangga ke-13 (2022), ke-11 (2023), dan kini ke10 (2025). 

Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan global.

Kemajuan ini turut disokong oleh projek pembangunan infrastruktur yang strategik.

Di Westports, pengembangan terminal baharu (CT10–CT17) dijangka menggandakan kapasiti daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU menjelang 2028.

Lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu.

Lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu Northport pula sedang menaik taraf Dermaga 9 dan fasiliti lain bagi menyokong operasi kapal lebih besar serta volum pengendalian yang meningkat.

Bagi projek jangka panjang, Pulau Carey didapati berpotensi tinggi dalam meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060, sebagai nadi strategi maritim Malaysia masa hadapan.

Gabungan Kuasa Maritim Malaysia

Selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024, sambil mencatat lonjakan throughput kepada 12.25 juta TEU pada 2024,  peningkatan 16.9 peratus berbanding 10.48 juta TEU pada 2023.

Kombinasi kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia.

Artikel Lain