suria

Sudahlah dilanggar kenderaan tiada insurans, pemilik pula lepas tangan... Anda boleh buat tuntutan MIB, ini caranya!

Ramai mengalami kesukaran apabila ingin membuat tuntutan pada kenderaan yang tiada perlindungan insurans. -Gambar hiasan

MEMANG pening kepala jadinya kalau dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan insurans.

Bayangkan jika kerosakan dialami teruk dan melibatkan kos pembaikan yang tinggi.

Sudahlah anda perlu keluarkan kos sendiri, cedera yang dialami juga perlu ditanggung dengan pembiayaan peribadi.

Lebih membimbangkan apabila pemilik kenderaan tersebut enggan memberi kerjasama atau 'menghulur' ganti rugi atas kerosakan mahupun kecederaan yang dialami.

Bagi anda yang terpalit dengan situasi ini, jangan runsing dahulu.

Apa kata anda ikuti cara tuntutan insurans untuk kos kecederaan yang dikongsikan Aiman Bikers Garage di Facebook.

"Sebenarnya, ramai yang tak tahu kes macam ni boleh 'claim' dengan Motor Insurers’ Bureau (MIB).

"MIB adalah dana khas untuk melindungi pengguna jalan raya yang dilanggar kenderaan yang tiada perlindungan insurans. 

"MIB dapat duit dari syarikat insurans, setiap tahun semua syarikat insurans wajib mencarum ke dalam MIB," jelasnya.

Berikut adalah cara membuat tuntutan: 

1. 'Claim' MIB boleh dibuat sendiri atau melalui peguam.

2. MIB tidak terima kes langgar lari, jadi anda mesti tahu nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar.

3. 'Claim' mesti dibuat dalam masa tiga tahun kejadian.

4. Jika lantik peguam dan ingin saman kenderaan tersebut, anda mesti memaklumkan kepada MIB 30 hari sebelum saman difailkan.

5. MIB hanya bayar kecederaan sahaja, kenderaan, harta benda, hilang sumber pendapatan dan sebagainya tidak termasuk dalam perlindungan.

6. Jumlah bayaran ditentukan oleh MIB sendiri.

7. Dokumen yang perlu dihantar adalah surat yang mengandungi perincian kejadian, laporan polis, laporan polis kenderaan yang melanggar (jika ada) dan laporan perubatan.

8. Hantar dokumen di atas ke Motor Insurers' Bureau of West Malaysia, Wisma PIAM, No.150-3, 3rd Floor, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, 50782 Kuala Lumpur dan hubungi 03-2274 7395 atau fax 03-2274 5910.     

Artikel Lain