suria

Jual telefon lama tanpa set semula? Awas, data peribadi anda boleh dicuri walau dipadam

Scammer boleh curi data peribadi melalui telefon bimbit. -Gambar hiasan

INDUSTRI telefon pintar tidak pernah sunyi dengan pelancaran model baharu daripada pelbagai jenama gergasi dunia. 

Ada yang tampil dengan reka bentuk serba moden, selain menonjolkan teknologi kamera seakan-akan profesional.

Tawaran spesifikasi yang luar biasa ini sememangnya menarik perhatian pengguna.

Maka tidak hairanlah apabila ramai yang gemar menjual telefon lama mahupun trade-in bagi memiliki model baharu demi mengikut trend semasa.

Namun sedar atau tidak, tindakan anda itu boleh menjadi pintu masuk mudah buat scammer untuk mencuri data peribadi.

Menurut perkongsian Duta Anti Scam yang juga Pegawai Bersara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rahmat Fitri Abdullah, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya telefon sentiasa selamat daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab termasuk sebelum melakukan penjualan semula peranti.

Terdapat beberapa insiden data peribadi seperti video dan gambar pengguna dicuri juruteknik telefon. -Gambar hiasan

Terdapat beberapa insiden data peribadi seperti video dan gambar pengguna dicuri juruteknik telefon. -Gambar hiasan

1. Matikan internet apabila rasa tidak selamat

Scammer biasanya masuk melalui internet kerana ia menjadi jalan penghubung antara telefon anda dengan mereka.

Seandainya anda tiba-tiba rasa tidak selamat atau ada sesuatu yang pelik berlaku, segera matikan internet.

2. Reset atau reformat telefon

Jika anda mahu benar-benar pastikan telefon kembali bersih, satu-satunya pilihan yang ada ialah reset atau reformat semula peranti.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas polis kongsi cara kenal pasti handphone jadi sasaran penggodam, perlu segera ubah 'setting'

Cara ini dapat menghapuskan semua jejak data dan aplikasi mencurigakan yang mungkin sudah ‘bersarang’ dalam sistem.

3. Hati-Hati jika mahu jual telefon

Ramai tidak tahu, data dalam telefon masih boleh diakses walaupun sudah dipadam.

Jika ingin menjual atau trade-in telefon lama, pastikan anda reset atau format sepenuhnya sehingga kosong.

Ingat, memadam sahaja tidak cukup kerana data boleh disedut semula oleh golongan profesional.

Mematikan internet apabila peranti tidak digunakan dapat mengelakkan kehadiran scammer. -Gambar hiasan

Mematikan internet apabila peranti tidak digunakan dapat mengelakkan kehadiran scammer. -Gambar hiasan

4. Jangan biarkan internet hidup semasa tidur

Waktu tidur adalah antara masa terbaik dan paling mudah bagi scammer untuk cuba menceroboh peranti anda.

Jadi, amalkan untuk menutup internet serta bluetooth sebelum tidur demi keselamatan data peribadi anda.

5. Elak guna WiFi percuma

WiFi percuma di tempat awam mungkin nampak menarik, tetapi belum tentu selamat.

Sambungan sebegini boleh dimanipulasi oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat peribadi.

Jadi, lebih baik gunakan data sendiri atau pastikan rangkaian benar-benar dipercayai.

Artikel Lain