BERDEPAN situasi anak kecil sukar tidur malam pastinya meletihkan sesiapa sahaja.
Apatah lagi bagi ibu bapa yang sudah seharian bekerja namun terpaksa mengorbankan waktu rehat demi memastikan anak berada dalam keadaan baik.
Bagi mengelakkan anda menjadi lesu di siang hari kerana tidak cukup tidur dan rehat, bolehlah berikan pure butter atau mentega asli kepada si kecil sebelum mereka tidur.
Berdasarkan pengalaman yang dikongsikan Yani Samsudin, anaknya akan tidur nyenyak selepas diberikan mentega asli.
"Selalu tengok video luar negara, anak bawah usia dua tahun diberikan pure butter sebelum tidur.
"Cuba bagi pada anak, elok je dia tidur... kalau tidak, sebelum ini asyik terjaga je," kongsinya di laman Threads.
Butter mengandungi lemak yang sihat untuk bayi.
Untuk maklumat, penulis buku nutrisi kanak-kanak dan peranan ibu bapa, Dr Amalina Mohd Daud turut berkongsi tentang kebaikan mentega kepada anak-anak.
Menurutnya, mentega adalah sumber lemak yang sihat untuk bayi dan sangat penting dalam pertumbuhan otak serta sistem saraf.
Amalan pengambilannya akan membuatkan kulit anak cantik bersih selain satu kaedah untuk menaikkan berat badan bayi.
"Butter paling baik adalah grassfed butter, ia dihasilkan daripada lembu yang hanya makan rumput sahaja dan mengandungi omega 3.
"Mereka yang menggunakan pure butter, boleh jadikannya tumisan atau sapuan pada roti dan biskut," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Amalina meminta para ibu untuk mengelakkan mentega campuran (butter blend), marjerin dan spread yang baginya kurang baik untuk bayi mahupun golongan dewasa.