PENGGUNAAN gajet dalam kalangan kanak-kanak seawal usia setahun adalah perkara biasa pada masa ini.
Ada yang menjadikan gajet sebagai 'umpan' agar anak-anak diam dan tidak membuat bising apabila berada di tempat awam serta tidak kurang juga bagi tujuan memudahkan proses pembelajaran.
Namun pendedahan seorang wanita di media sosial berhubung perbuatan dua kanak-kanak perempuan melayari video pornografi, mengejutkan masyarakat.
Lebih membimbangkan apabila di usia 12 tahun itu, mereka sudah mengetahui cara untuk mencari kandungan tidak bermoral itu.
"Dua orang murid perempuan darjah enam kantoi tengok video 18 tahun ke atas.
"Kemudian kantoi lagi dua orang perempuan darjah enam juga, tengok sama-sama di rumah kawan," ujarnya di laman Thread.
Alihkan perhatian anak anda dengan aktiviti berfaedah seperti buku bergambar.
Mengakui bimbang dengan situasi yang berlaku, wanita ini berharap ibu bapa lebih cakna dan mengawal penggunaan telefon bimbit anak dengan sebaik mungkin.
Bagi ibu bapa yang masih belum mengetahui cara untuk memantau kandungan media sosial yang dilayari anak-anak bolehlah mencuba tip ini.
YouTube Kids
Laman web YouTube mempunyai aplikasi khas untuk kanak-kanak di bawah usia 13 tahun, yang dikenali sebagai YouTube Kids.
Aplikasi ini menjadikan penggunaan melayari video dalam talian lebih selamat dan mudah untuk kanak-kanak.
Paling menarik adalah terdapat pelbagai fungsi kawalan untuk ibu bapa bagi membolehkan mereka menyesuaikan penggunaan aplikasi dengan keperluan anak-anak.
SafeSearch
Tetapan SafeSearch yang tersedia di enjin pencarian Google membenarkan ibu bapa menapis hasil carian yang eksplisit di Google, seperti pornografi.
Apabila SafeSearch diaktifkan, ia membantu menghalang imej, video dan laman web eksplisit daripada hasil Carian Google.
Ia juga tersedia dalam pelbagai bahasa yang disokong Google Search.
Ibu bapa boleh mengawal kandungan web yang dilayari anak-anak. -Gambar hiasan
Family Link
Aplikasi Family Link daripada Google membantu ibu bapa memerhati penggunaan peranti anak-anak mereka, dan membolehkan ibu bapa menetapkan peraturan dasar digital atau ground rules.
Melalui aplikasi ini, peranti anak-anak akan dihubungkan dengan peranti ibu bapa di mana ia membolehkan pengawasan masa penggunaan skrin (screen time) dan menguruskan kandungan dilayari anak-anak.
Family Link juga membenarkan ibu bapa menetapkan had masa bagi mewujudkan keseimbangan dalam penggunaan peranti oleh anak-anak.
Malah, ibu bapa juga boleh mengunci peranti anak-anak pada bila-bila masa.
Daripada sudut keselamatan pula, Family Link membolehkan ibu bapa menjejaki kedudukan atau lokasi anak-anak melalui fungsi GPS.
Aplikasi ini boleh dimuat turun untuk peranti iOS dan Android melalui AppStore dan GooglePlay.