suria

Touch 'n Go tak boleh guna, betul ke MyKad tamat tempoh lepas 10 tahun? Ini penjelasannya

Fungsi dan penggunaan MyKad telah diperluaskan mengikut perkembangan zaman. -Gambar hiasan

PASTI ramai antara kita yang membelek-belek MyKad disebabkan bantuan MyKasih disalurkan menerusinya.

Tidak kurang juga yang beranggapan kad pengenalan diri itu sudah tamat tempoh kerana sistem Touch 'n Go yang terdapat padanya tidak berfungsi.

Menerusi hantaran di Facebook, Mat Isa Harisyah berkongsi pengalamannya memperbaharui MyKad atau sering disebut IC (kad identiti) selepas lebih 10 tahun menggunakannya.

Dia pada awalnya turut beranggapan kad pengenalan itu telah tamat tempoh sebelum dijelaskan mengenainya oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Hari ini baru berkesempatan untuk ambil IC di JPN Kepala Batas selepas buat secara dalam talian menerusi panggilan telefon oleh JPN Putrajaya.

Perbezaan Mykad lama dan baru. -Foto Mat Isa Harisyah

Perbezaan Mykad lama dan baru. -Foto Mat Isa Harisyah

"Kisahnya, Khamis lepas aku ke JPN Kepala Batas tapi dia maklumkan sudah tiada nombor giliran dan minta datang pula pada hari keesokannya .

"Semasa ke kereta, aku hubungi nombor yang diberikan... sepatutnya IC yang lebih 10 tahun kena berurusan di kaunter tapi katanya kalau tiada pertukaran alamat dan gambar, boleh dilakukan online. 

"Selepas beberapa verifikasi, akhirnya siap dan boleh diambil selepas setengah jam," kongsinya.

Menurut Mat Isa, perbezaan antara MyKad lama dan baharu yang diperoleh adalah label Touch 'n Go yang mana kad pengenalan masa kini tidak dilengkapi sistem bayaran berkenaan.

Susulan itu, dia bertanyakan sama ada MyKad mempunyai tamat tempoh atau sebaliknya.

"Aku ambil peluang tanya pegawai yang serah, kenapa IC boleh expired? 

"Dia senyum sambil jawab 'IC kita tak pernah expired cuma cip Touch 'n Go yang limit 10 tahun sahaja tamat tempoh.

"Pada website Touch 'n Go pun ada tulis, tak pasal-pasal JPN yang dapat nama buruk'," ujarnya sambil menambah bayaran perkhidmatan memperbaharui MyKad adalah RM10.

Artikel Lain