PENCIPTA kandungan video boleh menarik nafas lega apabila Facebook memperkenal ciri baharu yang menjaga 'hak' pengkarya.
Menurut Techcrunch, pada 14 Julai lalu Meta mengumumkan langkah tambahan untuk mengetatkan kawalan terhadap akaun yang berkongsi kandungan 'tidak asli' di Facebook, iaitu akaun yang berulang kali menggunakan semula teks, foto atau video milik orang lain.
Malah sepanjang tahun ini, Meta menurunkan kira-kira 10 juta profil yang menyamar sebagai pencipta kandungan terkenal di seluruh dunia.
Apa yang menarik, akaun yang menyalahgunakan sistem dengan kerap mengulang guna kandungan orang lain akan hilang akses kepada program penjanaan wang atau monetization di Facebook untuk tempoh tertentu.
Capaian siaran mereka juga akan dikurangkan bagi memastikan pencipta asal mendapat tontonan dan penghargaan yang sewajarnya.
Berpeluang menggunakan perincian baharu itu di Malaysia, seorang pencipta kandungan, Syafiee Ariffin berkongsi pengalamannya di Facebook.
Notifikasi yang diterima Syafiee berhubung video yang dihasilkan. -Foto Facebook Syafiee Ariffin
"Awas pencuri video! Nampaknya tools terbaru daripada facebook iaitu Content Protection mula menunjukkan hasil.
"Hari ini (Jumaat) dah lapan video match dengan video yang saya hasilkan.
"Apabila sudah ada tool terbaru daripada Facebook ni, AI akan cari video yang match dengan video yang kita hasilkan dan setkan sebagai video protection," ujarnya.
Malah dengan ciri baharu itu, dia menyedari terdapat individu yang menggunakan videonya untuk menghasilkan pendapatan.
Menurut Syafiee, dia juga dimaklumkan tentang jumlah peratusan kesamaan video yang berkenaan meskipun individu terbabit melakukan suntingan dan sebagainya.
"Paling menarik, tools AI terbaru daripada Facebook ni, ia akan menyatakan berapa peratusan match video walaupun orang yang curi sudah edit, potong atau ambil sebahagian.
Ciri baharu tersebut memperkenalkan tiga jalan penyelesaian bagi video yang telah disalin. -Foto Facebook Syafiee Ariffin
"Sebagai pemilik, kita ada tiga pilihan iaitu track, block atau release.
"Track kita akan pantau setakat mana view video yang dicuri, kira tengok dari jauh... mula-mula match, akan auto jadi status track.
"Kalau pilih menyekat, automatik video yang dicuri disekat daripada capaian, kira sia-sia pencuri tu masukkan video," jelasnya lagi.
Tambah Syafiee, pemilik juga berhak untuk melaporkan kandungan tersebut bagi tujuan tindakan pelanggaran jika perlu.
Bagi yang memilih release pula, tiada apa-apa tindakan dilakukan.
"Contohnya saya ada profile Instagram sendiri, jadi AI Facebook akan kenal pasti video tu sama walaupun ia adalah profile kita juga.
"Jadi, kita boleh pilih release. Fungsi ni juga penting jika kita ambil paid review, halaman kedai yang upah akan upload semula video review yang dibuat.
"Kita dapat track atau release video tersebut tapi jika kedai pandai-pandai upload tanpa bayar, kita boleh beri amaran pada mereka," tambahnya berkongsi pengalaman.