suria

Bekas jurutera kongsi tip lepasan SPM pilih bidang pengajian... Jurusan ‘gempak’, sukar bukan jaminan cerah masa depan

Pelajar cemerlang lepasan SPM disaran membuat pilihan jurusan yang sewajarnya supaya mudah memperoleh pekerjaan di Malaysia. -Gambar hiasan

REALITI pasaran kerja masa kini wajar dijadikan panduan dan pertimbangan bagi remaja yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Berkongsi pengalaman dan pemerhatian yang dibuat sejak 2023, pelayar Facebook, Ahmad Firdaus Abdullah berpendapat sesetengah jurusan yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak menepati pasaran kerja yang ada di Malaysia.

"Kepada anak muda yang cemerlang dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), kalau nak sambung belajar di peringkat universiti... jangan ambil jurusan sains tulen seperti kimia, fizik, biologi, matematik, sains aktuari, statistik. 

"Jurusan ni tidak ada masa depan di Malaysia, kecuali anda dah ada perancangan nak berhijrah ke Jepun, Jerman, United Kingdom, Switzerland, Taiwan, China.  

"Jangan nak berharap anda akan dapat jadi saintis macam dalam filem Hollywood," jelasnya.

Pelajar lepasan SPM diseru untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. -Gambar hiasan

Lepasan SPM diseru untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. -Gambar hiasan

Selaku bekas jurutera rangkaian komputer dan Ketua Unit Infrastruktur Rangkaian di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dia menyarankan pelajar lepasan SPM untuk mengambil jurusan berkaitan perubatan, teknologi maklumat mahupun kejuruteraan.

Malah katanya, bidang farmasi, perakaunan dan seni bina juga masih sesuai dalam pasaran kerja di Malaysia masa kini.

"Jika aim nak jadi PTD (pegawai tadbir diplomatik), HOD (ketua jabatan) dalam kerajaan, anda tidak perlu sakit kepala ambil jurusan yang susah nak skor. 

"Ambil je jurusan yang santai-santai seperti sastera, TESL, sejarah, perundangan, bisnes, pengajian am dan ekonomi.

"Skor biar dapat pointer 3.5 setiap semester," jelasnya yang turut meminta guru-guru sekolah untuk berkongsi mengenai perkara ini kepada pelajar.

Menurut Ahmad Firdaus, pandangan yang diberikannya bukanlah tepat 100 peratus namun dapat dijadikan garis panduan bagi remaja yang ingin menyambung pengajian.

"Dalam filem Hollywood, saintis lulusan PhD (Doktor Falsafah) Biologi dikejar penjahat sebab nak suruh cipta senjata bio. 

"Manakala, realiti sebenar di Malaysia, lulusan Biologi jual pelan takaful kejar pelanggan minta tandatangan," tambahnya yang kini berkhidmat sebagai ejen takaful.

Artikel Lain