KENAIKAN harga emas masa kini membuatkan masyarakat mula mencari alternatif lain untuk memilikinya.
Selain mengumpul duit terlebih dahulu, ada yang lebih gemar membeli barang kemas 'pre-loved' kerana nilainya lebih rendah berbanding harga pasaran.
Malah kebanyakannya masih cantik dan bersinar sama seperti barang kemas baharu.
Jika anda gemar membeli barang kemas terpakai, ini tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian seperti perkongsian mentor kewangan popular, Azizi Ali di Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN: Emas 916 luntur warna! Cangkuk gelang tukar jadi putih... Penjual salahkan losyen, ramai pula tak puas hati
Paling dibimbangi apabila barang kemas itu dibeli daripada penjual di laman sosial.
1. Mutu dan ketulenan emas
Antara risiko yang paling ditakuti adalah mutu dan ketulenan barang kemas yang dibeli terutama daripada penjual di media sosial.
Emas tiruan bukan sahaja merumitkan keadaan tetapi merugikan pembeli.
Tambahan pula, emas tiruan masa kini turut mempunyai cop mutu persis barang kemas di pasaran.
Emas tulen tidak mudah luntur warna.
2. Kemungkinan barang kemas yang dicuri
Terdapat satu kisah tular baru-baru ini melibatkan seorang wanita yang direman kerana terbeli barang kemas curi.
Bukan sahaja hampir dimasukkan ke lokap, malah dia mengalami kerugian yang besar kerana barang hasil curi itu dirampas dan wang beliannya 'lebur'.
3. Emas mungkin rosak, kemek atau calar
Semua institusi perbankan dan kebanyakan kedai emas tidak membeli barang kemas yang rosak, kemek atau calar.
Jika dibeli pun, mereka akan menolak harga yang ketara dan mungkin sehingga 30 peratus daripada nilai yang ditawarkan.
Semua situasi ini hanya akan menyusahkan anda sebagai pembeli dan pengguna.