suria

Rindu suasana ofis? Ini 7 persediaan suri rumah kena buat sebelum mohon kerja semula

Kebanyakan suri rumah sukar mendapatkan pekerjaan selepas 'bercuti panjang'. -Gambar hiasan

SELEPAS 'percutian panjang', terdapat wanita berstatus suri rumah atau 'stay-at home mom' yang ingin kembali bekerja seiring kelulusan yang dimiliki.

Namun di media sosial, ramai yang mengeluh dan meluahkan kesukaran memiliki kerjaya idaman disebabkan faktor usia dan sudah lama meninggalkan alam pekerjaan.

Bagi anda yang ingin kembali berkarier, cubalah ikut tip yang dikongsikan pakar motivasi yang juga jurutera Ts Mohd Anwar Sahul Hameed di TikTok.

1. Aktiviti kemasyarakatan

Anda dinasihatkan untuk banyak melibatkan diri dalam aktiviti taman dan kemasyarakatan.

Ia adalah cara untuk menjadikan anda lebih cakna dengan isu semasa dan lebih yakin.

Barulah anda tidak kekok untuk berbual tentang isu semasa atau bertemu orang baharu.

2. 'Upgrade' diri

Meskipun rutin harian anda penuh dengan pelbagai tugasan rumah, namun luangkan sedikit masa untuk menyertai kursus tertentu.

Anda juga boleh meluangkan sedikit masa untuk mengambil tahu tentang perkembangan teknologi masa kini.

Suri rumah tidak seharusnya merasa rendah diri apabila ingin kembali bekerja. -Gambar hiasan

Suri rumah tidak seharusnya berasa rendah diri apabila ingin kembali bekerja. -Gambar hiasan

3. Pendirian PJJ

Ramai calon berstatus suri rumah yang tidak dapat menjawab soalan tentang kemungkinan perlu melalui perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan suami.

Sebaiknya, bincang dengan suami tentang isu ini dan siapa yang akan menjaga anak serta menguruskan hal keluarga. 

Jadi, apabila panel mengajukan soalan ini, tak adalah anda menipu atau berdolak dalih sehingga menampakkan anda tidak sesuai diambil bekerja.

4. Keep in touch dengan kawan

Anda disarankan untuk sentiasa berhubung dengan kawan-kawan yang bekerja dalam bidang diingini. 

Cara ini dapat memastikan ilmu serta kepakaran yang dimiliki tidak berkarat selain dapat menambah pelbagai maklumat baharu dan terkini.

Mengetahui maklumat semasa penting bagi suri rumah. -Gambar hiasan

Mengetahui maklumat semasa penting bagi suri rumah. -Gambar hiasan

5. Ikut tatacara pemakaian kerja

Ramai yang sambil lewa tentang isu pemakaian sehingga ada yang mengenakan baju kasual seolah-olah mahu ke pasar. 

Anda sepatutnya menggayakan pakaian yang menyerlahkan personaliti.

Meskipun mahu tampil sopan tapi perlulah kekal elegan. 

6. Jangan malu

Tidak dinafikan ramai yang meluahkan rasa janggal dan rendah diri kerana sudah lama tidak bekerja atau mengenakan pakaian pejabat.

Ingat, segala pengorbanan yang dilakukan adalah demi keluarga.

7. Berikan jawapan kukuh

Kebanyakan penemuduga pasti akan mengajukan soalan 'kenapa anda ingin kembali bekerja'.

Apa sahaja jawapan yang diberikan perlulah kukuh dan menonjolkan keyakinan diri anda.

Sebagai contoh, ingin membantu suami atau meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

Artikel Lain