MISI bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terus mendapat perhatian dunia terutama dalam usaha memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk.
Bukan sekadar simbol keteguhan, ia juga membawa sejuta harapan kepada penduduk Gaza yang sedang ditindas.
Difahamkan, pada masa ini kumpulan konvoi yang terlibat sedang berlayar ke perairan antarabangsa berhampiran Greece sebelum menuju ke Gaza dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pada peringkat ini ia dianggap sebagai detik penentu kepada keseluruhan inisiatif berkenaan.
Berdasarkan maklumat di laman web rasminya, GSF merupakan gabungan penganjur, sukarelawan kemanusiaan, doktor, seniman, agamawan, peguam, dan pelaut.
Penyanyi Zizi Kirana antara peserta yang mengikut misi kemanusiaan GSF.
Berikut mStar kongsikan 12 trivia mengenai Global Sumud Flotilla yang memperjuangkan misi kemanusiaan rakyat Palestin.
1. Matlamat utama adalah memecahkan sekatan laut ke atas Gaza dan menghantar bekalan makanan, ubatan serta keperluan asas.
2. Pada bulan Jun, GSF melancarkan mobilisasi global yang diselaraskan melalui darat, laut, dan udara yang melibatkan 45 buah negara.
3. Usaha dibina atas solidariti antarabangsa tanpa mengira negara, agama, dan kepercayaan politik.
4. Merupakan pertubuhan bebas yang memperjuangkan keadilan, kebebasan, dan kesucian hidup manusia.
Misi GSF melibatkan 45 negara dari seluruh dunia.
5. Salah seorang rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dengan komuniti GSF adalah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Turut sama ialah penyanyi Zizi Kirana, Heliza Helmi dan pencetus ummah, PU Rahmat.
6. Pada Julai lepas, GSF rasmi sebagai penubuhan gabungan NGO antarabangsa.
7. Sumud Nusantara (Malaysia dan Asia Tenggara) mula bergerak membawa bantuan pada 23 Ogos lalu manakala pada 30 Ogos, kapal dari Genova, Itali mula berlepas di susuli kapal dari Barcelona, Sepanyol pada keesokan harinya.
8. Kapal tambahan dari Tunisia dan Catania di Itali mula berlepas pada awal September lalu.
Serangan yang berlaku ke atas GSF Amla pada 10 September lalu.
9. Menjelang pertengah September, kesemua kapal flotilla bergabung di perairan antarabangsa dan meneruskan perjalanan ke Gaza.
10. Merupakan armada kemanusiaan terbesar yang melibatkan 50 kapal dari pelbagai negara.
11. Malaysia turut berdiri teguh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan penuh terhadap misi GSF menerusi hantaran di Facebook rasminya.
12. Sekitar 15 peserta dari Malaysia telah menyertai misi membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.
13. GSF berdepan pelbagai risiko dan cabaran antaranya laporan diserang dron misteri pada waktu malam ketika tiba di perairan Tunisia pada 9 September lalu.
Insiden tersebut menyebabkan kerosakan akibat kebakaran pada dek utama serta ruang simpanan di bawah dek pada kapal bernama Amla.