suria

Jangan tunggu dawai tersembul! Ini lima petanda anda perlu tukar coli, ambil tahu juga cara lupus terbaik

Ramai yang memilih kaedah pembakaran bagi melupuskan coli dan pakaian. -Gambar hiasan

MELUPUS pakaian lama dengan cara mengitar semula adalah perkara biasa bagi sesiapa sahaja.

Malah terdapat banyak lokasi yang mengumpul baju-baju lama sama ada untuk dikitar semula atau diserahkan kepada golongan memerlukan.

Apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana pakaian dalam golongan wanita dilupuskan apabila sudah tidak boleh digunakan?

Ada yang menyatakan ia tidak boleh dikongsikan atas faktor kebersihan meskipun kelihatan masih elok dan boleh dipakai.

Segelintir pula mengambil jalan mudah dengan membakar dan menanam mahupun menggunting seterusnya melupuskan seperti sampah domestik.

Namun bagi pengguna Thread, Aida Marie Mohamad, kaedah tersebut adalah mengarut dan kolot.

Menurutnya golongan wanita perlu memanfaatkan kios kitar semula yang terdapat di stesen minyak tertentu seperti kempen yang dibuat jenama pakaian dalam, Wacoal.

Malah katanya sesetengah jenama pakaian dalam menyediakan tong kitar semula bagi memudahkan pengguna melupuskan barang peribadi tersebut.

Pemilihan bra yang sesuai adalah penting untuk golongan wanita. -Gambar hiasan

Pemilihan bra yang sesuai adalah penting untuk golongan wanita. -Gambar hiasan

"Kebiasaannya coli dikitar semula menjadi plastik atau gabungan fabrik untuk dijadikan pakaian mahupun beg.

"Tak perlu gunting, bakar, tanam... mengarut! Itu amalan kolot," tambahnya.

Untuk maklumat, Wacoal menerima apa sahaja jenama coli dan anda juga boleh menerima rebat sebanyak RM20 apabila mengimbas kod QR sempena kempen yang dijalankan.

Bagi yang rasa sayang atau tidak tahu bila perlu mengganti coli dan pakaian dalam, ini lima perkara yang perlu anda ikuti.

1. Coli nampak lusuh

'Nampak lama' bermaksud warna pakaian dalam anda sudah pudar dan benangnya mula berbulu atau tertetas.

2. Cup bra atau bahagian lengkung berkedut

Selain itu, bahagian lengkung yang sepatutnya menyokong dada anda sudah mula berkedut. 

Lazimnya, ia berlaku apabila anda kerap mencuci pakaian dalam menggunakan mesin basuh.

3. Tali bahu longgar 

Anda juga mungkin dapati tali bahu semakin longgar dan sering terlucut walaupun sudah diketatkan.

Ini petanda utama bahawa anda perlu menggantikan pakaian dalam supaya lebih selesa.

4. Tali belakang kurang anjal 

Jika tali belakang atau band coli anda hilang keanjalan, itu tandanya sudah sampai masa untuk dibuang. 

Band adalah bahagian utama yang memberi sokongan pada pakaian dalam.

Oleh itu, anda perlu segera menukar baharu bagi memastikan sokongan baik pada bahagian dada.

5. Dawai coli tersembul keluar

Untuk coli berdawai, petanda utama ialah apabila dawai mula tersembul keluar daripada cup

Bukan sahaja boleh mencederakan anda, ia juga petanda bahawa sudah tiba masanya untuk ucapkan selamat tinggal pada bra tersebut.

Artikel Lain