suria

Hentikan tabiat tunggu sampai lampu menyala... Ini 4 risiko kalau kerap biar tangki minyak hampir kosong

Tabiat membiarkan tangki minyak hampir kosong boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap kenderaan. -Gambar hiasan

RAMAI pemandu pasti pernah berada dalam situasi di mana lampu amaran bahan api menyala.

Meskipun bahan api masih berbaki untuk jarak kecemasan bergantung kepada model kereta, tetapi  amalan memandu dengan tangki minyak hampir kosong sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap kenderaan.

Berikut adalah risiko memandu dengan tangki hampir kosong:

1. Rosak pam bahan api

Pam bahan api bergantung kepada petrol untuk pelinciran dan penyejukan.

Apabila petrol terlalu rendah, pam terdedah kepada haba dan geseran, justeru ia boleh menyebabkan pam cepat rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Masih ramai pemilik kereta ambil ringan, tak sedar kesan buruk jika lambat tukar minyak enjin

2. Sedutan sedimen kotor dari dasar tangki

Apabila petrol hampir habis, kotoran di dasar tangki boleh tersedut. Keadaan ini boleh menyumbat penapis dan saluran bahan api yang akhirnya jejaskan prestasi enjin dan naikkan kos penyelenggaraan.

3. Risiko kereta mati secara tiba-tiba di jalan raya

Bayangkan jika berlaku di lokasi bahaya seperti lebuh raya atau selekoh tajam. Ini sekali gus meningkatkan risiko kemalangan dan menyusahkan pengguna jalan lain.

4. Potensi kerosakan enjin dalaman

Enjin moden tidak direka untuk gangguan aliran bahan api secara mengejut.

Ini mendorong kerosakan sistem penyalaan yang mana boleh mengakibatkan kos baik pulih tinggi.

Cara terbaik adalah jangan membiarkan tangki berada di bawah suku penuh, terutama jika anda merancang perjalanan jauh atau melalui kawasan yang jarang ada stesen minyak. 

Elakkan juga tabiat menunggu hingga saat akhir untuk mengisi minyak, lebih-lebih lagi semasa musim perayaan, cuaca buruk, atau waktu kecemasan.

Artikel Lain