suria

Iceland kini sudah ada nyamuk! Saintis temui 3 ekor spesies tahan sejuk

Imej nyamuk yang ditemukan dan kemudian dikongsi di Facebook oleh Björn Hjaltason. -Foto Björn Hjaltason

ANTARA fakta menarik dalam dunia yang mungkin tidak ramai tahu adalah Iceland merupakan sebuah negara bebas nyamuk.

Fenomena ini berikutan Iceland mempunyai suhu rendah sepanjang tahun, yang tidak membenarkan nyamuk membiak di sana.

Namun nampaknya fakta tersebut tidak 'kekal' buat selama-lamanya, apabila nyamuk mula dikesan di negara berkenaan buat pertama kali akibat perubahan iklim.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya kena campur siput sedut dengan hampas kelapa, biarkan semalaman sebelum cuci... Isi jadi lebih manis dan tak berlendir

Serangga pembawa penyakit itu ditemui oleh peminat serangga, Björn Hjaltason, di bandar Kjós, yang berkongsi penemuan seekor 'lalat aneh' di laman grup Facebook 'Insects in Iceland' pada 16 Oktober. 

Pakar entomologi dari Institut Sains Semula Jadi Iceland, Matthías Alfreðsson, kemudian mengesahkan bahawa tiga ekor nyamuk, dua betina dan seekor jantan ditangkap menggunakan tali wain merah yang biasanya digunakan untuk menarik rama-rama.

Nyamuk itu dikenal pasti sebagai Culiseta annulata, spesies tahan sejuk yang biasa ditemui di Eropah, Asia utara dan Kanada. 

Spesies ini mudah menyesuaikan diri kerana sering bertelur dalam bekas buatan manusia seperti tong hujan, tayar atau pasu bunga, menjadikannya berpotensi merebak ke kawasan baharu apabila suhu meningkat.

Sebelum ini, Iceland merupakan antara dua wilayah di dunia yang terlalu sejuk untuk didiami nyamuk. 

Namun, dengan suhu negara itu kini meningkat empat kali lebih cepat berbanding hemisfera utara, keadaan menjadi lebih sesuai untuk kehidupan serangga. 

Menurut pakar, pemanasan global bukan sahaja membolehkan nyamuk berhijrah ke kawasan baharu, malah meningkatkan risiko penyakit bawaan seperti malaria dan denggi, yang kini turut meningkat di Eropah.

Kini, Antartika kekal sebagai satu-satunya tempat di dunia tanpa serangga pembawa penyakit, menurut Kajian Populasi Dunia.

Artikel Lain