suria

Antara paha dan dada ayam, mana lebih sihat? Ambil tahu perbezaan dua bahagian ini jika anda sedang berdiet

Bahagian paha dan dada ayam mempunyai kandungan kalori dan nutrisi yang berbeza. -Gambar hiasan

AYAM merupakan antara sumber protein paling popular terutamanya bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat atau sedang menjaga pemakanan.

Namun, tidak semua bahagian ayam mempunyai nilai kalori dan nutrisi yang sama. 

Dua bahagian yang sering menjadi perdebatan ialah dada dan paha.

ARTIKEL BERKAITAN: Pucuk manis memang sedap, tapi jangan sesekali makan mentah! Hentikan diet ‘smoothies’ atau campuran dalam salad

Jadi di antara keduanya, mana satu lebih sihat dan sesuai untuk diet?

1. Paha ayam

Paha ayam terkenal kerana teksturnya yang lebih juicy dan rasanya lebih gurih berbanding dada ayam.

Menurut pakar diet berdaftar dan pengasas Nutrition by Bess, Bess Berger, paha ayam mengandungi lebih banyak lemak, menjadikannya lembut dan tidak mudah kering apabila dimasak.

Disebabkan paha merupakan bahagian yang sering digunakan untuk pergerakan, warna dagingnya lebih gelap dan mempunyai rasa yang lebih kuat. 

Walaupun begitu, paha ayam tetap merupakan sumber protein yang baik, selain turut mengandungi zat besi dan zink, dua mineral penting untuk metabolisme dan kesihatan darah.

Jika ingin menjadikannya pilihan yang lebih sihat, pilih paha ayam tanpa kulit. 

Kandungan nutrisi untuk satu hidangan paha ayam tanpa kulit adaah kira-kira 164 kalori dan 21.2 gram protein.

Ayam merupakan sumber protein paling popular. -Gambar hiasan

2. Dada ayam 

Dikenali sebagai daging tanpa lemak atau lean meat, bahagian ini mempunyai kandungan lemak yang rendah dan termasuk dalam kategori daging putih.

"Dada ayam adalah salah satu sumber protein terbaik,” jelas Bess. 

Ia bukan sahaja rendah lemak dan kalori, tetapi juga mengandungi fosforus dan kalium, dua mikronutrien penting yang membantu mengekalkan fungsi otot serta keseimbangan cecair dalam badan.

Namun, kerana kandungan lemaknya rendah, dada ayam mudah menjadi kering jika tidak dimasak dengan betul. 

Rasanya lebih mild atau neutral, jadi cara penyediaan yang sesuai amat penting agar ia tidak hambar.

Kandungan nutrisi untuk satu hidangan dada ayam tanpa kulit mengandungi kira-kira 131 kalori dan 25.6 gram protein.

Menjawab persoalan mengenai bahagian mana yang lebih sihat, sebenarnya baik dada mahupun paha bagus untuk kesihatan, namun bergantung kepada tujuan dan keperluan tubuh anda.

"Jika anda sedang mengawal pengambilan lemak atau dalam program menurunkan berat badan, dada ayam ialah pilihan terbaik.

"Namun, jika anda mahukan rasa yang lebih gurih, tekstur yang lembut, serta tambahan zat besi dan zink, paha ayam adalah pilihan yang sesuai," kata Bess.

Artikel Lain