suria

Melangkaui Sidang Kemuncak... Memperkasa janji dan peranan ASEAN di pentas dunia

Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 sudah menutup tirainya.

Jika rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan persidangan bersejarah tersebut tertanya-tanya sama ada segala kemeriahan acara itu sekadar tontonan politik, tanggapan berkenaan salah.

Menurut Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, sidang kemuncak dan siri mesyuarat berkaitan sememangnya sarat dengan simbol dan kemegahan.

Namun di sebalik protokol rasmi itu, wujud kerja diplomasi yang rumit dan mendalam.

Beliau berkata, kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah kali ini amat bermakna kerana ia berlangsung pada detik genting dalam sejarah ASEAN. 

Pasukan Petugas Peringkat Tinggi yang mempengerusikan bersama ASEAN Vision 2045 dan Deklarasi Kuala Lumpur bekerja secara senyap namun berkesan untuk memastikan hasil yang nyata.

Trump, tarif dan perdamaian

Mohd Faiz menegaskan, antara pencapaian terbesar Malaysia tahun ini ialah kejayaan membawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kembali ke pentas ASEAN.

"Donald Trump mungkin terkenal kerana sikap tidak menentu dan kecenderungannya memecahbelahkan pandangan, namun tidak dapat dinafikan pengaruh jawatannya serta kesannya terhadap rantau ini.

"Penglibatannya di bumi ASEAN bertenaga namun bermakna menjadi bukti ketabahan Malaysia dan isyarat terhadap kebangkitan semula relevansi ASEAN," ujarnya.

Sidang itu juga menyaksikan kejayaan bersejarah apabila Malaysia menjadi pengantara kepada Perjanjian Damai Kemboja–Thailand, yang ditandatangani bersama oleh Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, walaupun perjanjian itu belum menyelesaikan semua pertikaian, ia mengembalikan kestabilan di rantau berkenaan serta membuktikan kekuatan diplomasi senyap Malaysia.

KUALA LUMPUR, Oct 26 — Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim delivers his speech at the opening ceremony of the 47th ASEAN Summit and Related Summits at the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) today.-- fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVEDKUALA LUMPUR, 26 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.-- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA Pencapaian Malaysia sebagai tuan rumah tahun ini mencerminkan kematangan dasar luar negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Geopolitik kolaboratif 

Dalam pada itu ujar Mohd Faiz, kehadiran Brazil dan Afrika Selatan sebagai tetamu khas turut menandakan dimensi baharu dalam hubungan luar ASEAN, seiring hasrat Malaysia memperluas kerjasama global melangkaui Asia.

Sidang kali ini turut meraikan ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), yang menurut beliau berjaya dipulihkan fungsinya sebagai wadah dialog strategik, bukannya medan perebutan pengaruh antara kuasa besar.

"Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan merupakan kenyataan bersama pertama selepas tiga tahun. Ia bukti ASEAN masih mampu mencari kesepakatan walaupun berdepan tekanan geopolitik," katanya.

Perdagangan dan teknologi

Dalam bidang ekonomi, Malaysia menggunakan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh integrasi serantau serta mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar.

Antara langkah utama ialah menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan memperluas kerjasama melalui Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0) serta Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijangka dimeterai pada 2026.

"Langkah-langkah ini penting untuk memastikan perdagangan dan rantaian bekalan ASEAN kekal tahan lasak, selain membuka peluang pelaburan baharu dalam ekonomi digital dan hijau," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa cabaran utama ASEAN kekal pada kadar perdagangan dalaman yang rendah serta jurang pembangunan antara negara anggota, termasuk kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ke-11.

"ASEAN perlu berani bergerak melangkaui retorik. Pelaksanaan sebenar dan kesediaan memperkukuh institusi serantau adalah kunci kepada kejayaan," katanya lagi.

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim on press conference after closing ceremony in conjunction of 47th ASEAN Summit and Related Summits at Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur. Looking on left is Foreign Minister Datuk Seri Mohamad Hasan and on right is Investment, Trade and Industry Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. — FAIHAN GHANI/The StarMalaysia menggunakan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh integrasi serantau serta mengurangkan kebergantungan kepada kuasa luar.

Kepimpinan dan kedudukan strategik Malaysia

Mohd Faiz berkata, pencapaian Malaysia sebagai tuan rumah tahun ini mencerminkan kematangan dasar luar negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggabungkan prinsip dengan pragmatisme.

"Pendekatan beliau menonjolkan Malaysia sebagai pembina jambatan yang berhemah, yakin tanpa angkuh, dan bebas tanpa terasing," katanya.

Katanya lagi, Malaysia telah membuktikan bahawa negara kecil dan sederhana masih mampu memainkan peranan besar di pentas antarabangsa melalui kejelasan tujuan dan konsistensi moral.

"Cabaran kini ialah mengekalkan momentum selepas sidang kemuncak berakhir, iaitu memastikan rentak diplomasi diteruskan, bukan sekadar ketika sorotan kamera terarah.

"Jika semangat kerjasama dan keyakinan ini berterusan, kepengerusian ASEAN oleh Kuala Lumpur akan dikenang bukan kerana keagungannya semata-mata, tetapi kerana ketenangannya, bukan kerana persembahan gemilangnya, tetapi kerana kesungguhan dan tujuannya," ujar beliau. 

Artikel Lain