KEBAKARAN di dapur boleh tercetus akibat kesilapan-kesilapan kecil yang sering dilakukan tanpa kita sedari.
Oleh itu, kesedaran dan langkah berjaga-jaga ketika berada di dapur amat penting bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Berikut kami kongsikan lima kesilapan yang boleh mecetuskan kebakaran dapur:
1. Tinggalkan dapur
Keluar dari dapur ketika memasak merupakan punca utama kebakaran rumah, menurut Persatuan Keselamatan Kebakaran Kanada.
Jika anda perlu meninggalkan masakan seketika, pastikan api dapur dimatikan terlebih dahulu.
2. Banyak gangguan
Melakukan banyak kerja dalam satu masa memang bermanfaat dalam sesetengah keadaan, tetapi bukan ketika memasak.
Perhatian penuh amat diperlukan, tanpa gangguan daripada telefon, televisyen atau orang sekeliling.
Gangguan juga boleh memperlahankan tindak balas anda, menyebabkan kecederaan atau melecur, malah meningkatkan risiko kebakaran dapur.
Kuali yang dibiarkan tanpa pengawasan di atas dapur ibarat menunggu masa untuk malapetaka berlaku.

Setiap rumah patut dilengkapi dengan alat pemadam api. -Gambar hiasan AI
3. Tempat letak barang
Keadaan dapur boleh menjadi semak dan berselerak! Ramai yang kehabisan ruang di meja dan akhirnya menggunakan dapur sebagai pilihan terakhir.
Kadangkala tanpa sedar, anda meletakkan tuala atau peralatan di atas dapur.
Meletakkan bahan mudah terbakar seperti tuala tangan, bekas plastik atau sarung tangan ketuhar terlalu dekat dengan api boleh menyebabkan kebakaran.
4. Pakaian longgar
Pakaian besar atau longgar boleh terbakar jika terlalu dekat dengan api dapur.
Walaupun memakai apron boleh melindungi pakaian daripada kotor, ia tidak menghalang lengan baju longgar terdedah kepada bahaya.
Pergerakan mudah seperti mencapai periuk boleh menyebabkan pakaian anda terkena api.
5. Alat pemadam api
Alat pemadam api merupakan keperluan yang mampu dimiliki dan penting untuk setiap rumah.
Anda digalakkan menyimpan alat pemadam api kerana ia boleh membantu ketika kecemasan.
Ketiadaan alat pemadam api boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih cepat.


