KEBANYAKAN lif biasanya dilengkapi dengan cermin yang menjadikan ruangnya lebih indah dan luas.
Malah, ramai individu sering menggunakan cermin dalam lif untuk membetulkan tudung, melihat wajah dan merakam swafoto.
Namun tahukah anda, terdapat tiga sebab utama kenapa cermin diletakkan di dalam lif.
1. Keselamatan
Menurut sebuah syarikat pemasangan dan penyelenggaraan lif berpangkalan di United Kingdom iaitu Gartec, terdapat banyak sebab berkaitan keselamatan untuk meletakkan cermin dalam lif.
Contohnya, anda boleh melihat apa yang dilakukan oleh semua orang dalam lif. Cermin lif pernah memainkan peranan dalam mengesan kecurian malah meramalkan serangan.
Cermin lif juga diperkenalkan untuk aksesibiliti. Cermin lif boleh membantu pengguna kerusi roda masuk atau keluar lif dengan selamat tanpa perlu berpusing.
Ini dapat mencegah kemalangan dan memudahkan kehidupan bagi sesiapa dengan kecacatan fizikal atau orang kurang upaya (OKU).

Cermin dalam lif juga memudahkan OKU untuk menggunakan kemudahan itu. -Gambar hiasan AI
2. Klaustrofobia
Mengalami klaustrofobia dalam lif adalah masalah biasa bagi ramai orang.
Ruang yang sempit, kekurangan udara, dan ketidakupayaan untuk melihat mekanisme lif menyumbang kepada rasa cemas dalam ruang kecil yang menyebabkan tapak tangan berpeluh dan degupan jantung meningkat.
Kehadiran cermin dalam lif membantu mengurangkan kebimbangan ini. Ia memberikan rasa ruang yang lebih luas, menjadikan lif terasa kurang sempit dan kecil serta membantu mengelakkan perasaan terperangkap.
3. Mengalih perhatian
Segelintir individu mudah untuk bosan ketika berada di dalam lif dan cermin adalah cara yang baik untuk mengalihkan perhatian.
Dengan cara itu, orang kurang cenderung mengadu tentang masa yang dihabiskan dalam lif atau melihatnya sebagai masa yang terbuang.
Sama ada anda menggunakan cermin untuk mengemas rambut atau memerhati penumpang lain, tanpa cermin, semua orang hanya perlu menatap lantai dan dinding sahaja.


