suria

[V] Pemandu lori berhenti tidur tepi jalan, esok pagi kedai makan berdekatan 'ghaib'! Cuma ada pondok usang, jirat Cina

Tangkap layar video yang dikongsikan oleh Firdaus.

SEORANG lelaki berkongsi detik menyeramkan yang dilaluinya ketika berhenti rehat di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi dituju pada keesokan hari.

Menurut lelaki bernama Firdaus itu, pada malam tersebut dia berhenti berhampiran sebuah kedai makan tetapi rupa-rupanya kawasan itu adalah tanah perkuburan.

Dia yang merupakan seorang pemandu lori memuat naik pengalamannya itu di TikTok selepas menyedari dirinya berdepan sesuatu yang aneh pada sebelah pagi keesokan hari.

Jelas Firdaus, pada malam itu dia terlalu penat dan memutuskan untuk tidur di tepi jalan dekat sebuah kedai yang ketika itu dilihat masih beroperasi.

"Wah semalam tengok ada kedai makan, ramai orang datang makan.

"Saya tumpang 'parking' untuk tidur je,” tulisnya dalam video [Tonton video].

Namun, apa yang dilihatnya pada waktu pagi keesokan hari cukup mengejutkan sebagaimana yang dapat diliihat dalam video yang dikongsi.

Rakaman itu menunjukkan kawasan itu hanya ada sebuah pondok kecil yang usang, dikelilingi semak samun dan rumput tinggi.

Kedai makan di tepi jalan lebih mudah untuk disinggahi pelanggan. -Gambar hiasan AI

Apa yang membuatkan dia lebih seram apabila melihat batu nisan, menunjukkan kawasan itu adalah tanah perkuburan masyarakat Cina.

Tiada lagi kedai makan, seperti yang dilihat sebelum merehatkan diri pada malam semalam.

Difahamkan kejadian berlaku di Rompin, Pahang.

Pengalaman Firdaus mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

Lebih mengejutkan apabila ada juga yang mendakwa turut mengalami kejadian aneh di lokasi tersebut.

"Saya dan kawan-kawan berhenti (makan) kedai tu. Ada la macam orang-orang alim pakai baju jubah putih dan serban. Lepas tu ada perempuan jaga kaunter. 

"Order makan apa semua lepas tu saya terdetik hati tanya kakak jaga kaunter tu. Depan jalan tu kubur ke? Dengan selamba dia jawab, kubur. Hanya kami dan lelaki berjubah tu je dekat kedai tu.

"Siap makan, bayar dan masuk kereta. Lepas tu balik pergi cari kedai tu tak jumpa dah. Apa yang kami makan pun tak tahu la sebab masa tanya kubur tu pun semua dah habis makan sebab lapar sangat," ujar seorang netizen.

Artikel Lain