LEBIH tiga dekad telah berlalu, namun pengalaman ngeri yang dialami oleh seorang wanita sejak kecil terus menghantui dirinya hingga ke alam dewasa.
Kisah bermula ketika dia berusia 11 tahun, apabila hijabnya terbukanya dan mampu melihat sesuatu yang bukan dari dunia nyata.
Pada hari tersebut, sebelum subuh, dia bersama nenek keluar rumah untuk menghantar kakaknya ke stesen bas.
Dalam perjalanan, dia terlihat dua susuk tubuh berpakaian putih seakan kembar dan berambut panjang berjalan seiring, sebelum membelok masuk ke arah sebatang pokok ubi kayu.
Anehnya, kedua-dua lembaga itu tidak mempunyai kaki dengan hanya bahagian belakang tubuh dan rambut kelihatan.
“Saya sangka itu orang kampung yang pergi beli ikan awal pagi,” katanya yang kemudian bertanya kepada nenek siapa gerangan kedua-dua mereka itu.
“Mana ada orang beli ikan waktu pagi buta ni… kalau jumpa apa-apa lain kali jangan ditegur,” pesan neneknya.
Keesokan hari, nenek mula bercerita bahawa kawasan berhampiran pernah menjadi lokasi penampakan pontianak.
"Ada kisah penduduk kampung yang menumpangkan wanita misteri menaiki motosikal dan diminta turun berhampiran pokok setoi.
"Selepas turun, makhluk itu dilihat berada di atas pokok dan berkokok bunyi yang menyeramkan dan langsung tidak seperti ayam," katanya.
Individu yang ternampak perkara aneh disaran mendiamkan diri. -Gambar hiasan
Menurut neneknya, pokok bunga tanjung yang tumbuh berhampiran juga dipercayai menjadi tempat kegemaran makhluk halus.
Selepas lebih 10 tahun dan wanita itu sudah pun mendirikan rumah tangga dia berdepan sekali lagi detik menyeramkan itu.
Ketika sedang berpantang anak sulung, dia tertidur keletihan dan antara sedar dengan lena, tubuhnya terasa amat berat, seakan ditindih.
Dia hanya mampu membuka mata sedikit dan terlihat dua lembaga seakan-akan kembar berpakaian putih berdiri di kiri dan kanan buaian.
Rambut mereka panjang dan kedua-duanya kelihatan serupa, namun mujur wajah mereka tidak kelihatan.
"Saya cuma mampu menyebut Allah dalam hati, dan ketika itu barulah bayangan itu hilang.
Menurutnya, itu bukan kali terakhir hijabnya terbuka kerana pelbagai penampakan dilihatnya dengan ada makhluk tersenyum, ada yang terapung, tangan berbulu keluar dari dinding dan orang tua tanpa wajah.
Akhirnya, dia mendapatkan rawatan secara perubatan Islam secara ruqyah untuk menutup semula hijab dan menamatkan pengalaman seram yang menghantuinya sejak kecil.