SEORANG wanita berkongsi pengalaman menyeramkan dipercayai kerana menyimpan sejambak bunga, hadiah daripada bekas kekasih di atas almari biliknya.
Bunga itu diberikan sempena hari lahirnya beberapa tahun lalu dan disimpan begitu lama hingga kering kerana menganggap ia mempunyai nilai sentimental.
Namun siapa sangka, jambangan bunga tersebut menjadi punca dirinya diganggu.
Kisah bermula apabila adiknya, yang dikatakan memiliki 'mata batin' sejak kecil menegur mengenai bunga tersebut.
"Bunga kau yang dah kering tu, ada benda suka duduk dekat situ. Atas almari tu tempat dia," kata si adik.
Wanita itu mengaku pada mulanya hanya menganggap kata-kata adiknya itu sekadar gurauan atau sengaja mahu membuatkan dia berasa takut.
Namun semuanya berubah apabila berlaku satu insiden pada suatu malam.
"Saya rasa susah nak bergerak, nak buka mata pun berat. Saya kena tindih. Tapi saya dapat rasa… benda tu tengah perhati saya dari atas almari.
Seorang wanita diganggu ketika sedang tidur. -Gambar hiasan AI
"Saya cuba nak bangun tapi terasa berat sangat. Nak baca sebarang surah pun rasa tak mampu masa tu," katanya.
Berdepan kejadian ini dalam kepekatan malam, dia sempat menjeling ke arah almari dan jelas kelihatan satu makhluk sedang mencangkung dengan mata merah menyala.
Dia hanya membaca ayat-ayat suci yang termampu dalam hati walaupun lidah terasa kelu.
Bagaimanapun,situasi kembali normal apabila azan Subuh berkumandang.
Namun perkara yang paling mengejutkan dirinya adalah ketika hari mula siang.
"Bunga tu jatuh sendiri dari atas almari. Masa tu baru saya betul-betul percaya cakap adik saya, benda tu memang ada," katanya.
Sejak kejadian itu, bunga kering tersebut terus dibuang dan dia sering membaca ayat serta surah pelindung di biliknya.
Wanita itu juga tidak lagi menyimpan sebarang barangan yang terlalu lama, apatah lagi yang dikaitkan dengan memori lalu.