suria

Anak berubah jadi pemarah, tak mahu ikut solat... Rupanya angkara patung mainan, ada ‘penghuni’ dalam badan dinosaur

Kanak-kanak lelaki gemar dengan patung berbentuk dinosaur. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita berkongsi pengalaman menyeramkan apabila anak kecilnya mengalami gangguan misteri daripada patung permainan.

Segalanya bermula apabila si ibu menyokong minat anaknya yang suka dan obses terhadap patung dinosaur sejak usia satu tahun.

Malah anaknya itu mengetahui serta mengenali semua jenis dinosaur dan patung T-rex miliknya menjadi permainan paling digemari.

Ke mana-mana sahaja patung itu dibawa sehinggalah usianya kini empat tahun.

"Sayang anak kan… sokong minat anak tapi hakikatnya kita dah bagi dia 'sakit'. Sampai kena pergi berubat.

"Makan, mandi, bangun tidur, tengok telefon mesti kena ada patung tu di sebelah. Keluar jalan, pergi kedai makan pun mesti kena ada dengan dia," demikian menurut ibu kanak-kanak itu.

Bagaimana pun si ibu mula sedar akan perubahan sikap anak apabila dia makin kurang makan, mudah marah dan tidak mahu diajak solat.

Pengadu yang menetap di Kuala Kangsar, Perak pada awalnya tidak menyangka gangguan berpunca daripada mainan tersebut namun segalanya terungkai selepas dibawa berubat.

"Kami lalai. Tak syak benda ni sejak awal. Apabila dia tiba-tiba sakit, kami bawa berubat.

"Ustaz beritahu ada iblis tumpang dalam mainan anak kami. 'Benda' tu pada mulanya akur apabila ustaz beritahu nak buang.

Kanak-kanak suka bermain pelbagai jenis permainan sebagai hiburan. -Gambar hiasan AI

"Makhluk yang menumpang tu beritahu jumlah mereka ramai. Jadi ustaz minta mereka beredar daripada mainan anak saya tu,” katanya.

Sehari selepas rawatan, kanak-kanak itu dilihat sedikit pulih dan kurang bermain dengan patung-patung dinosaur kegemarannya.

Bagaimanapun rasa tenang itu tidak berpanjangan apabila gangguan di rumah mereka kembali menghantui menjelang Maghrib pada hari berikutnya.

Si anak menangis dan marah-marah apabila bapanya mahu membakar patung-patung dinosaur dalam simpanannya.

"Anak menangis dan marah apabila abah dia cakap nak bakar. Jadi kami kena pergi semula ke pusat rawatan dekat Ipoh.

"Tak mahu ambil risiko jadi kami bertolak pada esok harinya. Malam tu abah dia ambil dan letak semua patung dalam satu plastik hitam.

"Sewaktu jumpa perawat kami dimaklumkan ada sekitar 30 makhluk halus dalam semua patung dinosaur milik anak. Tak sangka setiap patung binatang tu tak 'kosong', ada 'benda' yang kita tak nampak," katanya lagi.

Kini semua patung berbentuk binatang sudah dibakar dan perkara itu membuatkan anaknya tidak lagi ceria seperti dulu.

Namun mereka berusaha mengubah minat si kecil itu sedikit demi terutama kepada aktiviti dan permainan yang tidak melibatkan patung.

"Anak ada bertanya mengenai patung-patung kesayangannya itu, tapi apabila kita terangkan kenapa ia perlu dibakar, dia diam dan faham.

"Tapi pada usia sekecil itu dia memerlukan masa untuk lupakan sepenuhnya. Dia membesar dengan mainan tu. Tapi demi kebaikan dia, kami terpaksa buat juga," luahnya.

Artikel Lain