SEORANG ibu menyangka anak lelakinya berhalusinasi ketika bermain, namun lama-kelamaan dia mulai sedar anaknya itu mempunyai keistimewaan tersendiri.
Menurut wanita itu, anaknya yang masih di bangku sekolah rendah sering membuat kenyataan mengejutkan dan menyeramkan.
Katanya, kadang-kadang perkara sekecil parkir kereta pun boleh menjadi drama seram yang tidak pernah terlintas di fikiran.
“Jangan parking sini, mummy. Ada benda duduk situ.
"Aku pandang luar tingkap, tapi kosong. Tapi bagi dia, tempat tu bukan kosong.
"Apabila aku cuba nak abaikan, dia ulang... betul mummy, dia marah kalau kita dekat," kongsi wanita itu.
Malah, ketika dia memandu di lebuh raya pada waktu tengah malam, anaknya meminta supaya lebih berhati-hati kerana 'ramai' yang sedang melintas.
Lebih menyeramkan, ketika membawa anaknya melawat seorang kenalan yang menjalani pembedahan di hospital, kanak-kanak tersebut menutup matanya sepanjang berjalan di koridor.
"Aku tanya kenapa tutup mata, dia jawab banyak sangat roh dan ‘benda’ nak bercakap dengan dia. Tapi katanya dia malas nak layan,” katanya.
Kawasan hospital antara lokasi banyak penampakkan makhluk halus. -Gambar hiasan
Tambah si ibu lagi, anaknya juga pernah menggambarkan dengan jelas rupa makhluk yang dilihatnya, seperti berbadan hijau, lidah panjang, mata besar dan berlumuran darah.
Bagi wanita itu ia adalah sesuatu yang tidak mungkin direka oleh seorang kanak-kanak secara spontan.
Kisah menjadi lebih pelik apabila kanak-kanak itu kerap bermain seolah-olah tidak bersendirian.
“Pernah aku dengar dia main sorok-sorok dalam rumah. Siap kira satu dua tiga... Tapi kami berdua je di rumah masa tu.
"Apabila jumpa dia dalam almari, dia marah sebab ganggu dia main dengan kawannya. Aku tanya kawan siapa? Dia kata... adalah kawan abang,” katanya.
Terdapat dalam satu lagi insiden, anaknya itu menegur ibu saudaranya supaya menutup pintu dapur semasa makan kerana mendakwa ada hantu dengan anaknya sedang memerhatikan mereka dari pintu.
Jelas wanita itu, keluarganya kini mengambil pendekatan untuk tidak panik selagi keadaan tidak memudaratkan, walaupun anaknya itu pernah menunjukkan reaksi trauma sehingga tidak dapat tidur dan minta untuk pulang ke rumah datuknya.
“Apabila ditanya, dia kata ramai sangat kawan ajak main sampai dia tak boleh tidur,” kata ibunya lagi.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa ini hanyalah sebahagian kecil daripada koleksi kejadian misteri melibatkan anaknya dan terlalu banyak untuk dikongsikan.