suria

Rumah sewa tak ‘kosong’, pasangan suami isteri baru kahwin hanya mampu bertahan seminggu... Insiden malam akhir paling berbekas!

Rumah ditinggal terlalu lama mengundang kehadiran makhluk halus. -Gambar hiasan

RUMAH yang sepatutnya berfungsi sebagai tempat berteduh bertukar menjadi lokasi menakutkan bagi sepasang suami isteri.

Mereka hanya mampu bertahan untuk tinggal di sebuah unit apartmen di Kota Damansara, Selangor itu dalam tempoh seminggu sebelum mengambil keputusan untuk berpindah.

Menurut si suami, rakan isterinya menawarkan unit berkenaan untuk mereka tinggal sementara menunggu rumah yang dibeli siap untuk diduduki.

Namun tanpa suami isteri itu sedar, bukan mereka sahaja tinggal di kediaman itu, malah ada 'penghuni' lain yang turut menumpang di unit tersebut.

"Malam pertama dengar bunyi barang jatuh kat dapur. Ingatkan kucing atau tikus tapi keesokan pagi tengok dapur berselerak.

"Ada kertas koyak macam disiat. Meremang sikit tapi fikir positif, baru pindah kan," kongsinya di Threads.

Beberapa hari kemudian gangguan menjadi semakin pelik dengan barang-barang di dalam rumah berubah tempat.

"Sofa beralih. Tong sampah beralih. Paling obvious shower head. Aku memang ada habit sangkut shower head kat tempat dia.

"Tapi kali ni apabila nak mandi nampak shower head dalam baldi. Mind you... jauh betul dari tempat asal shower head tu. Tak logik masuk sendiri," katanya.

Tambah individu itu lagi, ketika mereka pulang dari kerja didapati pendingin hawa, lampu, dan kipas semuanya terpasang walaupun mereka keluar sejak pagi.

Jeritan lelaki misteri mendorong suami isteri segera berpindah keluar dari kediaman sementara di Kota Damansara. -Gambar hiasan

Keadaan itu membuatkan pasangan itu mula yakin bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

"Malam terakhir. Aku borak kosong atas katil dengan wife, biasa la baru kahwin dan waktu tu dah lepas tengah malam.

"Tiba-tiba kami disergah. Marah, kasar, bunyi lelaki. Dekat sangat macam dari bucu katil.

"Aku ingat aku sorang je dengar, sekali tengok bini dah tarik selimut sampai kepala. Terus senyap dua-dua," katanya.

Namun, menurut lelaki berkenaan insiden menakutkan itu tidak berakhir lagi apabila suara perempuan pula kedengaran.

"Tengah nak lelap dengar suara sayup dari bilik air. Suara perempuan, nak tak nak hadap je la.

"Bangun pagi nak mandi, lubang air tu penuh rambut. Panjang bercampur dengan uban," katanya.  

Disebabkan tidak tahan lagi, si suami mengambil cuti kecemasan selama dua hari untuk berpindah ke rumah ibu mentua sementara menunggu urusan rumah baharu mereka selesai.

Seminggu selepas berpindah, pemilik asal apartmen itu datang ke rumah menemui mereka.

Menurut rakan isterinya itu, ketika tiba di hadapan pintu dia mendapati grill tertutup tetapi pintu utama terkuak luas.

Namun, sebaik sahaja dia menghampiri grill untuk membuka kunci, pintu tersebut terhempas kuat dengan sendiri.

"Marah la kot 'benda' tu. Cuma aku tak pasti dia masuk ke tak hari tu dan apa dia buat nak halau 'benda' tu," katanya.

Artikel Lain