BARU beberapa bulan mendiami rumah teres berkembar dua tingkat yang dibeli bersama suami di Negeri Sembilan, Cempaka Hanis mula merancang tema dekorasi idaman.
Tambahan pula permohonan cuti selama seminggu baru sahaja diluluskan syarikat.
Disebabkan belum mempunyai cahaya mata, dia dan suami lebih gemar menggunakan ruangan bawah berbanding bahagian atas yang hanya mempunyai tiga bilik dan sedikit ruang tengah berhampiran tangga.
Tambahan pula rumah tersebut masih lagi kosong dan hanya mempunyai perabot 'bujang' untuk kegunaannya dan suami.
Suasana redup dan sunyi kediamannya, membuatkan tingkat dua hanya digunakan untuk tidur, itu pun sekadar masuk ke bilik dan terus berbaring.
Tema dekorasi yang bersesuaian dengan jenis rumah dapat memberi keselesaan pada penghuninya. -Gambar hiasan
Menurut Cempaka Hanis, dia ingin menghiasi rumahnya mengikut dekorasi idaman sempena cuti yang diperoleh sejak Selasa lalu.
Pada masa sama, dia ingin menyediakan sebuah bilik khas untuk si kecil dengan harapan mereka direzekikan memiliki zuriat dalam tempoh terdekat.
"Aku kemas dari pagi sehinggalah malam sebab memang teruja sangat, maklumlah rumah baharu.
"Sebelum nak dekorasi ikut tema pilihan, aku pun mop mana yang patut termasuklah semua bilik kat atas walapun tak digunakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera tersewa rumah bunian, nampak kelibat wanita berkebaya di tangga... Tinggal solat punca 'ditegur'
"Semasa tengah leka mengemop, aku rasa suami ada kat belakang dan tanya aku, B, kemas atas ke?" ujarnya sambil menjawab 'ya'.
Selepas beberapa minit berlalu, Cempaka Hanis mendengar bunyi deringan telefon miliknya dari bahagian bawah.
Disebabkan rasa malas untuk turun kerana sedang mengemop lantai, dia mengabaikan panggilan tersebut.
Bagaimanapun, telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi dan lebih lama.
Tumbuhan hiasan di dalam rumah membantu pengaliran udara yang lebih baik. -Gambar hiasan
Dia yang bimbang perkara kecemasan berlaku, terus berlari turun untuk menjawab panggilan.
Tambahan pula, dari bahagian tangga atas dia dapat melihat skrin telefon si pemanggil melakukan panggilan video.
"Apabila aku mendekati telefon, aku nampak nama pemanggil adalah suami aku.
"Mop yang dipegang semasa turun tangga terus aku campak dan berlari masuk ke dalam bilik tetamu yang ada di bahagian bawah," imbaunya yang menggigil ketakutan pada masa tersebut.
Menurut Cempaka Hanis, sambil menunggu suaminya pulang, degupan jantungnya begitu laju kerana memikirkan gerangan individu yang menegurnya tadi.
Hanya segelintir individu yang dapat melihat bayangan makhluk halus. -Gambar hiasan
"Lepas suami aku balik dan masuk dalam bilik tetamu, aku ceritakan apa yang terjadi.
"Tiba-tiba dia cakap yang dia pernah melihat aku berlari-lari naik tangga dari ekor mata sebelum ini.
"Lagilah aku mengelupur teruk sebab rasa takut dan seram... suami pun terus naik ke atas dan pasang ayat al-Quran dengan kuat sepanjang malam," tambahnya yang mengalami demam hampir seminggu disebabkan 'teguran' tersebut.
Situasi yang dialami itu membuatkan Cempaka Hanis terfikir sama ada 'hijabnya' kembali terbuka.
Malah dia mula berasa bimbang jika dirinya kembali sakit seperti zaman remaja dahulu sehingga sukar untuk melakukan pelbagai aktiviti.
"Dulu masa sakit selalu 'nampak', tapi dah berubat... selepas kahwin ni, memang dah lama tak nampak.
"Pelik pula baru sekarang jadi... risau kalau sakit balik," tambahnya yang mula mencari pusat rawatan Islam berhampiran rumahnya seperti dinasihatkan ramai.