MALAM yang sepatutnya tenang bertukar menjadi detik seram apabila pelukan yang disangka daripada suami rupa-rupanya dilakukan oleh 'makhluk' lain.
Meskipun berasa gerun dengan situasi yang berlaku, namun Rosziana Malik mampu mengatasi ketakutannya.
Berkongsi cerita, ujar wanita ini, kejadian berlaku semasa dia sedang nyenyak tidur di bilik utama rumahnya.
"Semasa tengah tidur, tiba-tiba terdengar bunyi pintu bilik dibuka.
"Rasa macam ada orang baring di belakang dan apabila ditoleh, nampak suami sendiri peluk pinggang seperti ingin 'bersama'," ujarnya memulakan cerita.
Dia bagaimanapun menolak ajakan tersebut kerana berasa ada sesuatu yang tidak kena.
Segelintir wanita mengalami gangguan jin asyik. -Gambar hiasan
Fikirannya dipenuhi dengan pelbagai andaian dan telahan.
Mana tidaknya, suami yang tiba-tiba memeluknya dari belakang tidak basah meskipun pulang dari pejabat dalam keadaan hujan lebat.
"Aku tolak sebab baru sedar, dekat luar hujan lebat dan suami aku kerja 24 jam di pejabat.
"Kalau dia balik pun, kenapa tak basah," ujarnya mengimbau kejadian yang berlaku.
Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, dia hanya membiarkan sahaja pelukan tersebut tanpa bersuara.
ARTIKEL BERKAITAN: Malam akhir sebelum nenek temui ajal dipenuhi misteri, pesakit katil depan meraung tunjuk arah pintu wad hospital
Namun di dalam hatinya, dia membaca semua jenis doa yang diketahui termasuk ayat Qursi dan Bismillah lima.
"Jantung ni macam nak pecah dah sebab takut, tapi aku baca doa-doa tu sampailah terlelap sendiri," tambahnya lagi.
Menurut Rosziana, suaminya pulang pada pukul 9.45 pagi keesokan harinya dan hanya tidur di atas sofa di ruang tamu.
"Tak lama kemudian, dia (suami) macam terkejut dari tidur dan cakap yang dia mimpi dia tidur di bilik sebelah.
"Tapi pada masa itu, dia tidak boleh membaca ayat Qursi walaupun sebaris," kongsinya lagi.
Sejurus mendengar tentang mimpi tersebut, dia mula menceritakan kepada suami kejadian yang berlaku kepada dirinya malam tadi.
Gangguan dialaminya selepas membantu mangsa kemalangan maut. -Gambar hiasan
Rosziana mengakui dirinya semakin gusar kerana ia seakan menguatkan lagi petanda bahawa keluarganya 'diganggu' perkara ghaib.
Malah dia mula mengusulkan supaya suaminya mendapatkan rawatan perubatan Islam.
Tambahan pula 'makhluk' tersebut mula menyerupai wajah dan perilaku suaminya.
Namun malangnya, cadangan yang diberikan hanya dipandang sepi oleh suaminya.
Susulan itu, dia mula mencari perawat sendiri.
"Aku terkejut apabila ramai yang cakap, kemungkinan makhluk yang peluk aku tu adalah 'belaan' suami atau hantu raya.
"Bimbang kejadian makin buruk, aku cari sendiri ustaz yang tinggal berhampiran rumah dan dia cakap suami aku terkena gangguan semasa membantu satu kemalangan maut tahun lepas," ujar Rosziana.
Hanya segelintir individu yang dapat melihat bayangan makhluk halus. -Gambar hiasan
Lebih mengejutkan apabila ustaz menyatakan makhluk tersebut bukan sahaja ingin menumpang tubuh suaminya malah mula meminatinya.
"Makhluk tu nak jadikan aku sebagai isteri pula sebab itu dia menyamar jadi suami aku... tapi aku bersyukur selepas beberapa kali dirawat, makhluk tu tarik diri.
"Ustaz cakap yang makhluk ni tidak berniat jahat terhadap keluarga aku dan hanya ingin menumpang.
"Disebabkan itulah aku tidak diganggu dengan pelbagai kejadian misteri seperti yang sering diceritakan orang lain," tambahnya lagi.
Bagaimanapun kata Rosziana, dia dan suami dinasihatkan supaya sentiasa bersedekah dan melakukan amalan sunat bagi mengelakkan gangguan sama berulang kerana tubuhnya telah mula mempunyai 'tapak' untuk dimasuki makhluk halus.