JEANS merupakan antara pakaian 'wajib ada' yang sesuai digayakan oleh semua peringkat umur.
Namun sayangnya, fabrik denim ini boleh berubah warna menjadi kekuningan, terutamanya jika disimpan dalam tempoh lama.
Antara punca lain, jeans juga boleh bertukar kuning kerana kadar kelembapan serta cara cucian yang tidak betul.
Namun jangan risau, jeans anda masih lagi boleh diselamatkan menggunakan dua bahan.
1. Baking soda
Langkah 1 - Basahkan denim dengan air. Gunakan air secukupnya untuk membasahkan fabrik, tetapi jangan sampai menitik.
Langkah 2 - Taburkan lapisan tebal baking soda ke atas kawasan yang kekuningan. Gosok baking soda ke atas denim yang basah menggunakan berus gigi. Apabila baking soda menyerap kotoran, ia akan berubah menjadi warna kekuningan. Gosok selama satu minit.
Langkah 3 - Cuci jeans dalam mesin basuh seperti biasa tanpa menanggalkan baking soda dari kawasan bernoda.
Langkah 4 - Keringkan seperti biasa.
Jeans dianggap pakaian asas yang dimiliki hampir semua orang. -Gambar hiasan
2. Cuka
Langkah 1 - Tuang satu cawan cuka ke dalam baldi.
Langkah 2 - Masukkan jeans kotor ke dalam baldi. Jangan letak lebih daripada tiga helai dalam satu masa.
Langkah 3 - Isikan baldi dengan air sehingga menutupi jeans. Rendam selama satu jam.
Langkah 4 - Keluarkan pakaian. Kawasan kekuningan sepatutnya kelihatan lebih pudar. Isikan botol semburan dengan cuka, dan semburkan terus ke kawasan berkenaan. Cuci denim dalam mesin basuh seperti biasa.
Langkah 5 - Keringkan pakaian dalam pengering (dryer) seperti biasa.