suria

Penumpang harus tahu maksud ‘Critical Eleven’ dalam penerbangan... Teori 11 minit paling penting!

Komunikasi antara juruterbang dan Pengawal Trafik Udara (ATC) adalah sangat penting bagi tujuan keselamatan. -Gambar hiasan

ISTILAH 'Eleven Minutes' cukup sinonim dalam dunia penerbangan bagi merujuk kepada Critical Eleven, iaitu sebelas minit paling kritikal dalam sesuatu penerbangan.

Sebelas minit yang kritikal itu terdiri daripada tiga minit pertama selepas berlepas (take-off) dan lapan minit terakhir sebelum mendarat (landing).

Maksudnya, dalam tempoh genting itu juruterbang akan berkomunikasi dengan Pengawal Trafik Udara (ATC) bagi mengendalikan pesawat yang berada di radar ketika itu.

Tiga minit pertama diperuntukkan bagi menentukan posisi yang stabil serta mengawal kelajuan kapal terbang sebaik sahaja berlepas dari landasan, manakala lapan minit terakhir pula digunakan untuk menurunkan kadar kelajuan sebelum melakukan pendaratan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat Air India bawa 242 penumpang ke London terhempas

Memetik laporan Indonesiabaik.id, analisis daripada Boeing menunjukkan bahawa kira-kira tujuh peratus kematian dalam penerbangan berlaku sebelum pesawat berlepas dari tanah.

Manakala 12 peratus berlaku semasa fasa berlepas dan pendakian awal dan lebih daripada 50 peratus kematian berlaku semasa fasa pendekatan dan pendaratan akhir.

Isyarat komunikasi di ruang udara amatlah penting bagi mengendalikan pesawat dengan baik. -Gambar hiasan

Nahas pesawat Air India yang berlaku pada Khamis lalu hingga mengorbankan 241 nyawa selepas berlepas dari bandar Ahmedabad, India, dalam penerbangan menuju ke London mengejutkan ramai.

Menurut kenyataan Direktorat Jeneral Penerbangan Awam India, pesawat Air India AI171 berlepas pada pukul 1.40 petang (waktu tempatan) sebelum mengeluarkan isyarat 'mayday' dan terhempas sejurus selepas berlepas.

Larangan semasa Critical Eleven


Sepanjang sebelas minit yang kritikal ini, anak kapal dilarang berkomunikasi dengan juruterbang yang sedang bertugas, kecuali dalam situasi kecemasan.

Dalam tempoh ini, anak kapal biasanya akan memberikan arahan kepada penumpang untuk mematikan telefon bimbit, melipat meja, membuka tirai tingkap, dan meluruskan sandaran kerusi dengan betul.

Peraturan ini bertujuan untuk menyokong proses pemindahan jika berlaku perkara yang tidak diingini dan juga demi keselamatan penerbangan.

Ingatlah bahawa mematikan telefon bimbit membantu juruterbang berkomunikasi dengan petugas ATC kerana isyarat telefon boleh mengganggu frekuensi komunikasi juruterbang.

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia