RAMBUT merupakan aset yang paling penting bukan saja kepada wanita tetapi juga lelaki.
Memilih potongan rambut yang sesuai bukan sekadar bergaya, tetapi turut memberi kesan besar kepada penampilan keseluruhan seseorang lelaki.
Potongan yang tepat boleh menyerlahkan bentuk wajah, memberikan kesan lebih maskulin, kemas dan seimbang.
Oleh itu, memahami bentuk muka adalah langkah penting sebelum membuat keputusan di kerusi tukang gunting.
Di bawah adalah panduan potongan rambut lelaki yang sesuai mengikut bentuk muka.
1. Bulat
Bagi lelaki yang memiliki bentuk muka bulat, potongan seperti pompadour, quiff dan undercut menjadi pilihan terbaik kerana gaya yang tinggi di bahagian atas dan nipis di sisi dapat memberi ilusi muka yang lebih panjang dan runcing.
Elakkan gaya rambut yang terlalu pendek dan bulat di sisi kerana ia boleh menambah kelebaran wajah.
2. Bujur
Bentuk muka yang seimbang antara lebar dan panjang, dianggap paling ideal kerana hampir semua jenis potongan sesuai dengan wajah bujur.
Gaya klasik seperti side part, slick back, dan buzz cut sering menjadi pilihan, namun disarankan untuk mengelak dari potongan fringe penuh yang menutup dahi kerana boleh menyebabkan wajah kelihatan lebih pendek.
Classic taper (kanan) sesuai bagi mereka berwajah petak, manakala slick back sesuai bagi berwajah bujur. -Gambar hiasan AI
3. Panjang
Lelaki bermuka panjang pula digalakkan memilih potongan yang menambah lebar di sisi kepala seperti crew cut atau medium taper, untuk mengimbangi bentuk muka yang memanjang.
Potongan yang terlalu tinggi di bahagian atas harus dielakkan kerana ia akan menambah lagi panjang wajah.
4. Petak
Bagi wajah petak yang memiliki garis rahang yang ketara dan struktur muka simetri, potongan yang boleh melembutkan garisan wajah seperti classic taper dan ivy league cut adalah pilihan sesuai.
Gaya yang kemas dan klasik mampu menyerlahkan ciri maskulin pemilik wajah ini.
5. Segi tiga
Lelaki yang memiliki muka segi tiga atau berbentuk seperti hati, di mana bahagian dagu lebih runcing berbanding dahi dan pipi, disarankan memilih potongan yang memberi keseimbangan seperti messy top atau gaya beralun di atas.
Ini membantu menambah volume di bahagian atas bagi menyeimbangkan bahagian dagu yang tajam.
Setiap bentuk muka memerlukan pendekatan berbeza. Dengan memilih potongan yang sesuai, lelaki boleh tampil lebih kemas, berkeyakinan dan bergaya.
Pendandan rambut profesional mampu membantu menyesuaikan gaya dengan bentuk wajah, tekstur rambut dan personaliti pelanggan.
Bagi yang tidak pasti bentuk muka mereka, dinasihatkan untuk mengambil gambar wajah dari depan dan berbincang dengan tukang gunting sebelum memilih gaya.