suria

Mampu bina rumah RM600,000 untuk ibu, usahawan serai ini kongsi 7 tip urus kewangan dan pertanian

Bahar berkongsi cara menguruskan pendapatan dalam bidang pertanian.

BERMULA dengan hanya tiga ekar tanah, seorang lelaki berjaya membina rumah bernilai lebih RM600,000 tanpa sebarang pinjaman bank.

Semua ini hasil daripada tanaman serai dibuat perunding perniagaan dikenali sebagai Coach Bahar yang mengusahakannya sendiri sejak lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, usaha ini pada asalnya bertujuan membina rumah baharu untuk ibu di kampung kerana kediaman lama sudah terlalu uzur dan dimakan anai-anai.

Ketika itu, Bahar baru pulang dari luar negara dan tidak layak membuat pinjaman bank kerana tiada rekod kewangan.

Namun, kini pengalamannya itu menjadi kisah inspirasi tentang pengurusan kewangan dan kecekalan hidup kepada orang ramai setelah ia dikongsikan di media sosial.

Berikut tujuh perkara penting yang dikongsikan oleh Bahar tentang strategi pertanian dan kewangan:

1. Tiada duit, jangan terus berhutang

Selepas pulang dari United Kingdom, Bahar tidak layak buat pinjaman kerana tiada rekod kewangan. 

Dalam masa sama, rumah lama keluarga di kampung sudah terlalu uzur. 

Bahar ambil keputusan untuk tidak bergantung kepada bank, sebaliknya mencari alternatif bercucuk tanam.

2. Mula dengan tiga ekar serai sahaja

Tanpa pengalaman besar dalam bidang pertanian, Bahar bermula dengan kebun serai seluas tiga ekar. 

Tanaman tersebut kemudian berkembang sehingga 18 ekar.

3. Setiap tanaman kena ada pengiraan

Bahar tekankan bahawa setiap inci tanah perlu dikira dengan teliti. 

Contohnya, satu ekar tanah boleh ditanam 7,500 rumpun serai jika diatur 2x3 kaki setiap jarak. 

Apabila dijaga rapi, setiap rumpun boleh hasilkan 2 kilogram (kg) serai dalam masa empat hingga enam bulan.

4. Potensi pendapatan tinggi walau hanya serai

Pada harga borong RM2 per kg (ketika itu), hasil 7,500 rumpun boleh mencecah 14,000kg, bersamaan RM28,000 untuk satu ekar. 

Hari ini, harga borong serai mencecah RM4.30 sekilo, jauh lebih tinggi.

5. Jangan ikut formula 7T (Tanam, Tak Tengok, Tengok, Tunggu, Tau, Tuai)

Menurutnya, ramai gagal sebab tanam tetapi tanaman tersebut tidak dijaga. 

Guna baja untuk kawalan rumpai dan penjagaan rapi sangat penting untuk dapatkan hasil maksimum.

6. Pemasaran (marketing)

Masalah petani zaman dahulu ialah marketing namun kini sudah banyak jalan penyelesaian.

Petani boleh terus jual hasil daripada kebun ke bandar atau negeri lain dengan mudah menggunakan p-hailing.

7. Guna semua tanah yang ada

Tanam apa saja jenis tanaman seperti halia, pandan, bunga kantan, keladi atau cekur. 

Apa yang penting, tanah tidak dibiarkan kosong dan terbiar.

Artikel Lain