suria

Untung besar! Lagi 20 tahun milenial dapat ‘durian runtuh’, jadi generasi paling kaya sekelip mata

Golongan milenial dijangka bakal mewarisi kekayaan menjelang 2045. -Gambar hiasan AI

DUNIA bakal menyaksikan satu fenomena luar biasa apabila pemindahan kekayaan terbesar dalam sejarah manusia sedang berlaku dan generasi milenial akan menjadi penerima utama.

Menurut laporan firma perunding Cerulli yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dianggarkan sebanyak 84.4 trilion Dolar Amerika Syarikat (USD) (kira-kira RM356 trilion) kekayaan bakal berpindah tangan daripada generasi lebih berusia kepada golongan muda menjelang tahun 2045.

Daripada jumlah tersebut, USD 72.6 trilion dijangka diwarisi oleh ahli keluarga, manakala USD 11.9 trilion lagi akan disumbangkan kepada badan amal.

Malah, ada anggaran lain yang meletakkan nilai keseluruhan pemindahan ini setinggi USD 140 trilion.

Dalam konteks ini, generasi 'baby boomer' merujuk kepada mereka yang lahir antara 1946 hingga 1964.

Kebanyakannya golongan tersebut kini sudah bersara dan memiliki kekayaan hasil kerja keras mereka selama beberapa dekad.

Manakala, generasi milenial pula ialah mereka yang lahir sekitar 1981 hingga 1996, iaitu golongan yang kini berusia dalam lingkungan 30-an hingga awal 40-an.

Ramai di antara golongan ini masih membina kerjaya, keluarga, kehidupan serta kewangan.

Menurut laporan Coldwell Banker, milenial dijangka bakal mewarisi lebih USD 68 trilion dalam apa yang digelar sebagai The Great Wealth Transfer.

Ini merupakan satu peralihan kekayaan antara generasi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Malah, menjelang tahun 2030, jumlah kekayaan yang dimiliki milenial dijangka meningkat lima kali ganda berbanding apa yang mereka ada hari ini.

Setakat tahun 2019, terdapat sekitar 618,000 jutawan milenial di Amerika Syarikat mewakili kira-kira dua peratus daripada jumlah jutawan negara itu. 

Angka ini dipercayai meningkat dengan pesat hari ini.

Naib Presiden segmen mewah Coldwell Banker, Craig Hogan turut mengiyakan hal tersebut lalu mempersoal apakah yang bakal dilakukan golongan milenial dengan kekayaan diwarisi ini.

Tinjauan USA Today mendapati bahawa milenial dan Gen Z (lahir selepas 1997) dijangka bakal menerima:

1. Purata warisan sebanyak USD 320,000 (RM1.3 juta)

2. 15 peratus menjangka akan dapat lebih daripada USD 500,000 (RM2.1 juta)

3. 6 peratus pula yakin mereka akan mewarisi lebih USD1 juta (RM4.2 juta)

Gelombang pemindahan kekayaan ini bukan sahaja mencetus keterujaan, tetapi juga tanggungjawab besar buat generasi muda sama ada duit tersebut disimpan, labur atau dibelanjakan. -NASDAQ

Artikel Lain