HOBI adalah aktiviti yang dilakukan kerana minat, namun dengan kreativiti dan strategi pemasaran yang betul, ia boleh menjana pendapatan tambahan.
Begitu juga dengan peminat pasukan bola sepak Chelsea, Jeffry Aizad Syah Karim, 44, apabila hobinya mengumpul jersi menjadi satu bentuk pelaburan yang membuahkan hasil lumayan.
Bermula dengan sekadar mengumpul jersi sejak 1995, kini peniaga itu memiliki lebih 2,000 helai jersi, termasuk lebih 350 jersi Chelsea tulen yang dibeli dari United Kingdom (UK) secara dalam talian.
"Harga keseluruhan untuk jersi Chelsea sahaja RM60,000 dengan kit paling mahal adalah pada musim tahun 1978 yang dibeli dengan harga 150 pound (RM800).
"Jika ditambah dengan jersi-jersi lain pula, ia mencecah ratusan ribu ringgit," katanya kepada mStar.
Jana pendapatan
Jeffry yang berasal dari Melaka turut berjinak-jinak menjalankan perniagaan jersi secara atas talian selepas melihat potensi perniagaan itu.
"Saya menjalankan perniagaan secara separuh masa sekitar tahun 2010 sebelum nekad untuk berhenti kerja sebagai jurutera automasi bangunan. Kemudian saya tumpu secara sepenuh masa bermula tahun 2013.
"Sebahagian jersi yang dijual adalah daripada simpanan saya dan ada juga jersi asli yang dibeli dari UK... ia juga melalui atas talian," katanya.
Menurut Jeffry, melalui jersi juga dia menggapai impian ke Stamford Bridge, iaitu stadium pasukan Chelsea yang terletak di London, UK pada Februari 2023.
Hobi juga membuka peluang kepada Jeffry membawa keluarganya bercuti hingga ke London.
Lebih manis, dia terbang ke London bersama isteri, Suriyana Shahrudin serta dua anak, Azfer Wafeeq Syah dan Qasseh Arissa Safiyya dengan kos RM30,000 hasil daripada menjual sebahagian koleksi jersi yang dikumpulnya.
Ketika diminta memberikan tip menjana pendapatan melalui hobi, Jeffry berkata terdapat tiga kaedah yang menjadi pegangannya.
1. Hobi boleh jadi nilai ekonomi
Jeffry membuktikan bahawa hobi mengumpul jersi bukan sekadar minat, tetapi juga aset yang mempunyai nilai ekonomi.
Koleksi edisi terhad atau barangan berkaitan pasukan popular mempunyai potensi untuk meningkat nilainya dari semasa ke semasa.
Jika disimpan dalam keadaan baik, ia boleh menjadi sumber pendapatan lumayan apabila dijual semula.
2. Gunakan hobi untuk capai impian tanpa hutang
Daripada bergantung kepada hutang peribadi atau kad kredit, Jeffry menggunakan keuntungan hasil jualan jersinya untuk membiayai percutian keluarga ke London.
Pendekatan itu menurut Jeffry bukan sahaja mengelakkan beban hutang, malah memastikan impian tercapai dengan cara yang lebih selamat dari segi kewangan.
3. Jual pada masa yang strategik untuk pulangan maksimum
Jeffy mengakui pasaran barangan koleksi mempunyai turun naik daripada segi permintaan.
Menjual ketika minat atau permintaan terhadap sesuatu pasukan atau pemain berada di puncak membolehkan harga yang lebih tinggi dicapai.
Jeffry mula menjual sebahagian koleksinya ketika permintaan tinggi di media sosial, sekali gus memaksimumkan keuntungan.