suria

Bukan selamanya kena hidup susah… Ini lima cara nak keluar daripada kepompong B40

Pergaulan bersama anak-anak golongan elit ketika belajar membantu membina gaya pemikiran seperti mereka. -Gambar hiasan AI

HIDUP dalam kelompok isi rumah berpendapatan rendah (B40) bukan penghalang untuk mencipta masa depan yang lebih baik. 

Walaupun dibelenggu dengan kekangan kewangan, beban hutang keluarga, serta akses terhad kepada peluang, masih ramai anak muda membuktikan bahawa kejayaan tetap boleh dicapai dengan azam dan perancangan hidup yang bijak.

Perunding dan penasihat kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad, berkongsi kaedah beberapa individu dalam kalangan B40 yang berjaya keluar daripada kepompong kesusahan dengan usaha gigih, disiplin kewangan dan pemilihan pergaulan yang bijak.

1. Pelaburan awal dalam pendidikan

Seorang individu berkongsi kisah menyentuh hati tentang ibunya yang sanggup mengorbankan semua simpanan demi memastikan anaknya dapat menamatkan persekolahan hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Walaupun hidup dalam kekangan kewangan, ibu tersebut percaya bahawa pendidikan adalah tiket untuk keluar daripada kemiskinan.

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila anaknya berjaya memperoleh biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.

Kisah ini menjadi bukti jelas bahawa pelaburan dalam pendidikan, walau sukar pada permulaan, mampu mengubah masa depan seseorang dan keluarganya secara menyeluruh.

2. Pergaulan membina minda dan wawasan kewangan

Ketika melanjutkan pelajaran di peringkat A-level dan universiti, individu tersebut memilih untuk berkawan dengan rakan-rakan daripada latar belakang keluarga berada (T20).

Melalui pergaulan ini, dia didedahkan kepada cara pemikiran dan strategi kewangan golongan elit, termasuk bagaimana mereka membina empayar kekayaan melalui perancangan kerjaya jangka panjang, pelaburan hartanah, saham, dan perniagaan.

Pendedahan ini membuka perspektif baharu bahawa kejayaan bukan hanya tentang kerja keras, tetapi juga berkaitan siapa yang kita dekati dan pelajari.

Menabung untuk pendidikan akan membawa pulangan yang besar di masa hadapan. -Gambar hiasanMenabung untuk pendidikan akan membawa pulangan yang besar di masa hadapan. -Gambar hiasan

3. Kerja di luar negara dan gaji dalam mata wang asing

Salah satu strategi yang digunakan oleh ramai golongan muda yang celik kewangan ialah bekerja di luar negara atau mengambil pekerjaan jarak jauh dengan majikan antarabangsa.

Dengan menerima bayaran dalam mata wang asing seperti dolar Amerika Syarikat (USD), mereka bukan sahaja mampu menyimpan lebih banyak, malah dapat menampung kos sara hidup di negara asal dengan lebih mudah.

Dalam masa yang sama, mereka mengekalkan gaya hidup sederhana, membolehkan lebihan pendapatan disalurkan ke dalam simpanan dan pelaburan jangka panjang.

4. Bisnes sampingan dan pelaburan sejak muda

Mereka yang berjaya seringkali memulakan pelaburan dan perniagaan sampingan sejak usia muda. 

Sama ada dalam bentuk jualan atas talian, dropship, pelaburan saham, atau hartanah kecil-kecilan, sumber pendapatan pasif ini memberikan mereka kelebihan dari segi kestabilan kewangan.

Mereka turut menekankan kepentingan celik kewangan—memahami risiko, pulangan, dan bagaimana wang boleh bekerja untuk kita, bukan sebaliknya.

5. Pilih pasangan hidup yang sekepala

Aspek ini sering kali dipandang remeh, namun ia menjadi kunci kepada kejayaan kewangan jangka panjang.

Memilih pasangan hidup yang berkongsi nilai dan matlamat kewangan yang sama akan membantu mengelakkan konflik, membina tabiat simpanan yang sihat, dan menyokong antara satu sama lain dalam perancangan kewangan keluarga.

Ada yang berkongsi pengalaman membesar dalam keluarga hampir muflis akibat beban hutang dan demi mengubah nasib, dia bekerja sambilan sejak usia 13 tahun.

Kini, dengan kerjasama pasangan yang sekepala dan pemahaman kewangan yang kukuh, dia bukan sahaja bebas hutang, malah mampu menyara keluarganya dengan selesa.

Artikel Lain